Malaysia Dateline

Wakil rakyat Kedah khianat bukan kerana Mukhriz buat silap besar, makan rasuah

Tidak harus Adun Pakatan Harapan (PH) Kedah yang berpaling tadah memberi alasan mereka telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai alasan untuk menyokong pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, tindakan Adun terbabit yang menyokong kerajaan PN adalah disebabkan arahan dari pihak atasan.

Tanpa menjelaskan siapa pihak tersebut, Mukhriz berkata, tiada satu pun alasan yang mendakwa beliau tidak menjalankan tugas dengan baik mahupun terlibat dengan sebarang kes rasuah dan skandal.

“Mereka ini (Adun kerajaan) bekerja dengan kita, percaya pada kita, tapi mungkin ada perkara yang berlaku menyebabkan mereka tidak lagi percaya pada kita.

“Namun, bila ditanya apa sebab dia tidak lagi percaya pada MB, jawapannya ialah ini arahan daripada atasan.

“Tak ada langsung disebut Mukhriz ada skandal, makan rasuah, buat silap besar dalam keputusan atau Exco di bawahnya berkelahi selalu. Tak ada satu masalah pun.

“Jadi, tak ada sebab untuk menyatakan bahawa mereka sudah kehilangan kepercayaan kepada MB tambah lagi kepada kerajaan (PH) keseluruhannya,” katanya dalam segmen ‘Bicara YB: Mandat Rakyat’ siaran langsung menerusi Facebook AMANAH Kedah malam tadi.

Dimoderatorkan Timbalan Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh, program selama sejam setengah itu turut membariskan ketiga-tiga pimpinan tertinggi komponen PH.

Mereka ialah Pengerusi AMANAH negeri, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi merangkap ADUN Pengkalan Kundur; Pengerusi PKR negeri, Datuk Johari Abdul (Ahli Parlimen Sungai Petani) dan Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew (ADUN Derga).

Mengimbas kembali bagaimana situasi sama berulang selepas empat tahun, Mukhriz berkata apa yang berbeza adalah peletakkan jawatannya seiring dengan kerajaan PH yang juga tumbang di negeri itu.

Katanya, ketika beliau diumumkan hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 2016, beliau hanya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar malah BN juga tidak tumbang ketika itu.

“Kali ini satu kerajaan tumbang. Bukan saya, Exco dan Adun-adun PH Bersatu sahaja, tapi setiap pengundi pada PRU-14 yang beri undi kepada PH, mereka semua dikhianati.

“Ini perkara yang kita tak boleh halalkan kerana ini kerajaan tebuk atap yang tak mendapat mandat rakyat,” tegasnya.

Dalam sidang media Mukhriz semalam, beliau mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi watak utama yang menyebabkan beliau hilang jawatan sebagai Menteri Besar Kedah buat kali kedua.

Mukhriz berkata, walaupun arahan menjatuhkan beliau datangnya dari Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun beliau percaya kejatuhan kerajaan PH didalangi bekas pemimpin terbabit.