Malaysia Dateline

Wakil Rakyat Pas Terengganu didakwa minta rasuah RM500,000

Seorang pemimpin Pas di Terengganu dilaporkan terlibat dengan rasuah apabila didakwa meminta ‘wang imbuhan’ berjumlah RM500,000 sebagai syarat untuk meluluskan sebuah projek pasir di negeri itu.

Ketua Pemuda Amanah Bukit Bintang, Sheikh Khuzaifah dalam hantaran Facebooknya semalam mendakwa, beliau mempunyai bukti membabitkan pemimpin Pas itu dan akan mendedahkan bukti tersebut dalam masa terdekat jika netizen ingin melihatnya.

“Siapa nak tengok bukti lebai Pas minta RM500,000 untuk lulus projek pasir di Terengganu?

“100 komen ‘Ya’ aku akan buka cerita,” katanya.

Sementara itu, Sheikh Khuzaifah yang juga Pengarah Urusan KZ Management Advisory Sdn Bhd berkata, pemimpin Pas berkenaan telah meminta RM200,000 sebagai wang pendahuluan dan RM300,000 lagi selepas surat kelulusan dikeluarkan.

“Lebai minta RM500,000 sebagai imbuhan.

“RM200,000 pendahuluan dan RM300,000 selepas surat kelulusan. Cepat komen di post di bawah untuk anda lihat sendiri buktinya nanti,” katanya.

Memetik Terengganu Fokus, sumber mendakwa pemimpin Pas tersebut ialah seorang wakil rakyat Kemaman.

Terdahulu, satu tangkap layar perbualan melalui aplikasi Whatsapp tersebar di media sosial antara individu bernama Nurul Islam dan seorang individu yang tidak dikenali.

Menurut Terengganu Fokus, perbualan tersebut membabitkan seorang aktivis Pemuda Pas, Nurul Islam Mohamed Yusoff yang memegang jawatan lantikan politik dalam GLC di Terengganu, yang menjadi perantaraan wakil rakyat berkenaan untuk meminta wang imbuhan.

“YB setuju buat agreement (persetujuan) tapi yb minta 200k dulu sebelum lulus”, tulis Nurul Islam dipetik dari tangkap layar tersebut.

Perbualan tersebut dilaporkan bertarikh antara 3 Oktober 2019 hingga 9 Oktober 2019.