Malaysia Dateline

Wakil rakyat Pas tidak sokong Anwar bawa undi tidak percaya terhadap Mahathir, kata Takiyuddin

Parti Islam SeMalaysia (Pas) hari ini, sekali lagi menetapkan pendirian semua 18 wakil rakyat parti itu tidak akan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya undi tidak percaya terhadap Tun Dr Mahathirf Mohamad dibawa ke Parlimen.

Setiausahanya Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sekiranya usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri diluluskan, Dr Mahathir mempunyai dua pilihan sahaja.

“Beliau meletakkan jawatan ataupun menasihatkan Yang DiPertuan Agung supaya membubarkan Parlimen, yang mana Yang diPertuan Agung mempunyai kuasa mutlak untuk mempertimbangkan atau sebaliknya.

“Dalam konteks sekarang, sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mendapat sokongan Ahli Dewan Rakyat sekurang-kurangnya majoriti mudah (simple majority), ini secara tidak langsung membawa maksud Tun Dr Mahathir telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

” Sekiranya ini adalah benar, Datuk Seri Anwar sepatutnya segera mengadap Yang diPertuan Agung bagi menyembah maklum tentang perkara tersebut.

“Beliau juga boleh membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat berdasarkan Perkara 43(4), Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Kata Takiyuddin lagi, gesaan pihak-pihak tertentu supaya Perdana Menteri yang telah dilantik mengikut Perkara 43(2), Perlembagaan Persekutuan supaya menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada seseorang Ahli Parlimen lain adalah tidak selaras dengan undang-undang.

“Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Perdana Menteri dari kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan tersebut.

“Ini merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang tidak memerlukan nasihat dari mana-mana pihak.

“Setelah terlantik sebagai Perdana Menteri, jawatan tersebut hanya terlucut dalam tiga (3) keadaan: iaitu Perdana Menteri meletakkan jawatan secara sukarela;Perdana Menteri hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Rakyat; dan Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat,” terangnya.

Pada Julai lalu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan bahawa beliau melihat timbalannya Mohamed Azmin Ali sebagai ancaman yang bakal mengahalangnya daripada menjadi perdana menteri.

Malah, dakwanya lagi,, beliau mempunyai sokongan ahli parlimen PKR, Pakatan Harapan dan restu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi perdana menteri seterusnya.