Wakil rakyat PH dingatkan jangan gelojoh kejar jawatan

Kini kita harus berbaik semula dan rapatkan saf setelah selesainya pilihan raya umum baru-baru ini, kata Anwar.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) supaya tidak gopoh dan gelojoh mengejar jawatan setelah memenangi pilihan raya umum (PRU) pada 9 Mei yang lalu.

Beliau berulang kali memberi peringatan tersebut ketika berucap pada majlis berbuka puasa yang diadakan di Yayasan An-Nadhoh, Kubang Semang, Permatang Pauh semalam.

Tegas beliau lagi, setelah menang besar dalam PRU baru-baru ini maka tugasan utama ialah untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Jalankan kerja dengan sebaik mungkin bagi menyelesaikan pelbagai masalah rakyat yang timbul.

“Jangan letakkan dalam fikiran untuk merebut macam-macam jawatan selepas menang.

“Dah menang, jangan ada yang gopoh dan juga gelojoh, ” ujar beliau lagi.

Malah katanya yang kalah, sudah sememangnya kalah, manakala yang menang harus berusaha sebaik mungkin bagi meneruskan khidmat.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya tidak berbalah selepas selesainya PRU.

“Kini kita harus berbaik semula dan rapatkan saf setelah selesainya pilihan raya umum baru-baru ini.

“Saya juga ikut berdamai dengan Tun Mahathir dan melupakan segala sengketa semata-mata bagi memastikan aspirasi menumbangkan Umno dan BN menjadi kenyataan.

“Akhirnya ia menjadi nyata dan kita mampu untuk menegakkan sebuah kerajaan untuk membawa perubahan kepada negara dan juga rakyat, ” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, yang perlu dilaksanakan kini ialah sikap berbaik-baik dan rapatkan saf dengan semua golongan masyarakat tanpa mengambil kira dari parti mana dan ideologi mereka.

1.5
OVERALL SCORE
1 user vote x 3.0