Wakil Rakyat PH Sarawak mempunyai akses memantau permohonan kewarganegaraan

Wakil Rakyat PH Sarawak mempunyai akses memantau permohonan kewarganegaraan

Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Sarawak kini mempunyai akses langsung ke pejabat Menteri Dalam Negeri untuk memantau dan membuat susulan terhadap kes permohonan kewarganegaraan, Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen berkata hari ini.

Beliau berkata ini berikutan pembubaran Jawatankuasa Khas Mengenai Kewarganegaraan Sarawak (SCC).

Alternatif ini serta tindakan susulan yang lebih cekap dalam mengendalikan permohonan kewarganegaraan telah terbukti lebih efektif dalam menampakkan hasil,” katanya dalam kenyataan.

Chong, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata 31 kes telah diluluskan dalam tempoh dua hingga tiga bulan dan lebih banyak kelulusan akan menyusul tidak lama lagi.

“Itulah sebabnya mengapa saya berpendapat bahawa SCC yang diketuai oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah tidak berkesan dalam menyelesaikan isu permohonan kewarganegaraan yang terlalu lama untuk diselesaikan yang dihadapi ramai rakyat Sarawak yang tulin,” katanya. .

Beliau berkata sejak 2016, SCC menerima 723 permohonan untuk kewarganegaraan tetapi, sehingga Mei 2019, tiga tahun selepas pembentukan SCC, hanya 123 permohonan telah diluluskan dan pada kadar itu, SCC memerlukan 15 tahun lagi meluluskan semua permohonan yang diterima.

Pada hari Isnin, semasa lawatan kerja di sini, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kementeriannya akan terus memberi keutamaan kepada isu kewarganegaraan, termasuk kes-kes peringkat negeri, di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata kementerian juga telah membentuk pasukan petugas khas di peringkat persekutuan untuk menyelesaikan isu kewarganegaraan, termasuk dari Sarawak dan oleh itu, kerajaan persekutuan berpendapat bahawa tidak perlu meneruskan jawatankuasa peringkat negeri mengenai isu itu.

Pada 22 Julai, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim menghantar surat kepada Fatimah yang menyatakan keputusan untuk memberhentikan jawatankuasa itu dan semua kes di Sarawak mesti dirujuk atau dikemukakan kepada kementerian untuk tujuan koordinasi.