Malaysia Dateline

Waktu krisis utamakan ilmu bukan nafsu

Saya merasa terpaksa menyatakan sesuatu setelah beberapa hari isu ‘sanitasi awam’ oleh KPKT menjadi perbualan dan perbahasan yang tidak menguntungkan rakyat yang dalam kesusahan di landa pendemik Covid 19.

Saya sempat kenal dan meninggalkan beberapa sahabat dan kakitangan kerajaan yang baik di KPKT setelah berkhidmat di situ untuk 22 bulan dan agak bersimpati dengan keadaan susah mereka yang terpaksa menjalankan tugas dalam situasi hari ini.

Adalah menghairankan dan tidak sopan, apabila Setiausaha Politik Menteri KPKT, boleh dengan lantang dan terbuka menegur beberapa pakar kanan perubatan negara yang mahir dalam bidang yang memerlukan penguasaan ilmu yang tinggi.

Pangkat Nor Hizwan Ahmad sebagai Setiausaha Politik Menteri KPKT tanpa ilmu serta kemahiran dan pengalaman bidang perubatan yang mendalam, tidak mungkin boleh mengatasi ilmu-ilmu yang di miliki oleh tiga pakar perubatan seperti Dr. Adeeba Kamarulzaman, seorang pakar penyakit berjangkit dan juga merupakan panel WHO – Persatuan Kesihatan Dunia,

Seorang lagi Dr Lokman Hakim adalah pakar kesihatan tempatan sementara seorang lagi pula wakil dari Persatuan Pakar Perubatan Awam Malaysia yang menyatakan tindakan sanitasi awam tanpa bersasar tidak mengambil maklumat sains terkini dan merupakan pembaziran.

Ia merupakan pembaziran sumber daya yang terhad di waktu negara perlu menghadapi pendemik Covid 19 dengan kewangan terhad. Tindakan ini boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Kakitangan dari KPKT yang taat menurut perintah atasan seperti Bomba boleh menjalankan banyak lagi tugas penting lain cara terancang melalui kajian saintifik dan tersasar sistematik mengikut ilmu pengetahuan penyelidikan terkini dunia yang canggih.

Dalam masa kita menghadapi kekurangan kewangan dan tenaga kerja kritikal kita perlu bekerja secara ‘pintar bukan sekadar rajin sahaja’ – ‘work smart not just work hard’.

Kita perlu bertindak bijak secara berlimu bukan sekadar sibuk bergegas kesana kemari tanpa berpandukan ilmu pengetahuan yang terkini.

Rakyat hari ini perlukan pemimpin yang menunjukkan kebijaksanaan melalui ilmu pengetahuan dan bukan menunjuk kuasa semata mata melalui pangkat dan kedudukan.

Di waktu negara menghadapi krisis, biarlah ilmu dan pengetahuan memimpin di hadapan dan bukan pula nafsu dan kesombongan didahulukan.

Allah ingin kita sedar semasa krisis Covid 19 ini apabila mereka yang berpangkat berkereta besar tidak boleh kemana pun, yang berduit banyak tidak boleh bermewah sangat pun dan supaya yang ada pangkat kedudukan sepatutnya gunalah kuasa dengan ilmu serta kebijaksanaan dan bukan dengan keangkuhan.

KPKT adalah suatu Kementerian yang besar dengan ramai anggota kakitangan yang baik dan berpengalaman. Gunalah tenaga mereka dengan bijak bersandarkan rujukan ilmu serta kepakaran.

Dalam waktu krisis, “we have to work smart and not just hard” kerana kekangan sumber kewangan dan tenaga.

Kita perlu bekerja secara bijak dan tidak dengan hanya sibuk kesana kemari tanpa perancangan teratur bersandarkan ilmu yang mendalam. Hal ini tiada salahnya untuk merujuk kepada pakar dan akhirnya berserah kepada Allah.

Amat malang kerana sewaktu kita dilanda krisis dan memerlukan pemimpin yang bijaksana mengemudi negara, namun yang ada hari ini , 70 orang menteri dan timbalan menteri ke sana ke mari tanpa panduan perancangan dan ilmu kepakaran yang diperlukan sehingga semasa ‘lockdown’ negara untuk kali ketiga pun keadaan masih tidak teratur dan peraturan huru hara menyusahkan rakyat.