Malaysia Dateline

Waktu mengundi di portal SPR hanyalah cadangan, henti arah pengundi pulang

Calon Pakatan Harapan (PH), Ashraf Mukhlis Minghat mendakwa ada pihak tertentu telah mengarahkan pengundi yang hadir awal dari masa yang ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, untuk pulang semula ke rumah.

Calon PH yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas itu menyelar tindakan tersebut.

Beliau memberi amaran agar pihak terbabit menghentikan kerja-kerja tersebut kerana waktu yang dipaparkan di portal SPR adalah cadangan sahaja.

“Saya menerima laporan dari wakil-wakil di Pusat Mengundi. Ada pihak tertentu yang mengarahkan pengundi pulang dan patuhi waktu cadangan yang tertera di portal semakan SPR.

“Saya menyelar tindakan ini dan berharap pihak yang tidak bertanggungjawab ini menghentikan kerja tersebut.

“Kita maklum bahawa waktu mengundi sebenar ialah 8.00 pagi sehingga 5.30 petang. Waktu yang dipaparkan di portal adalah cadangan sahaja,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Pagi ini juga, calon DUN Bukit Katil Adly Zahari membangkitkan perkara sama tentang kekeliruan pengundi berhubung waktu untuk mengundi.

Beliau kemudian memaklumkan bahawa waktu mengundi yang ditetapkan itu hanyalah syor SPR bagi mengelakkan kesesakan di tempat pembuangan undi.

Bagaimanapun katanya, jika pengundi mempunyai urusan lain pada waktu yang disyorkan itu, pengundi boleh datang pada bila-bila masa iaitu dari jam 8 pagi hingga 5 petang.