Waktu pusat hiburan, Go KL, cukai petak: Penjelasan Menteri

Waktu pusat hiburan, Go KL, cukai petak: Penjelasan Menteri
Menteri Wilayah Persekutuan menjelaskan sikap sebenar tentang Pusat Hiburan, Cukai Petak dan lain-lain lagi

Laporan media berhubung mesyuarat Majlis Menteri Wilayah Persekutuan yang diadakan pada 8hb Januari di DBKL telah disiarkan beberapa media. Oleh kerana ada timbul beberapa kekeliruan, maka kenyataan media rasmi ini dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan.

Muqaddimah

Mesyuarat Majlis Menteri Wilayah Persekutuan adalah inovasi yang dilakukan di bawah kerajaan PH. Proses konsultasi dan keterlibatan wakil yang dipilih rakyat dalam menentukan dasar-dasar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diamalkan melalui mesyuarat Majlis Menteri Wilayah Persekutuan. Mesyuarat ini disertai oleh Pegawai Kanan Kementerian Wilayah Persekutuan, DBKL serta kesemua 11 Ahli Parlimen Kuala Lumpur.

Konsultansi dan keterlibatan wakil yang dipilih rakyat dalam urusan DBKL tidak pernah diamalkan sebelum ini. Pada Selasa 8hb Januari, mesyuarat pertama untuk tahun 2019 telah diadakan. Mesyuarat tersebut telah membincangkan perkara-perkara berikut –

1. PELAN KL2020 dan KL2040

Mesyuarat dijelaskan mengenai Pelan KL2020 yang telah digazetkan dan undang-undang berhubung dengannya. Proses pindaan terhadap pelan yang telah digazet diperjelaskan.

Mesyuarat juga dimaklumkan bahawa proses untuk menghasilkan pelan KL2040 akan mula berjalan pada bulan ini. Semua pihak, bermula dengan Ahli Parlimen dan diikuti golongan profesional dan warga Kuala Lumpur akan dibawa berbincang untuk menyiapkan draf pelan ini. Adalah dijangkakan bahawa Draf Pelan KL 2040 akan disiap hujung tahun 2019. Ianya akan dipamerkan untuk teguran dan penambahbaikan oleh pihak awam sebelum dimuktamadkan dan diwartakan pada penghujung 2020.

2. CUKAI PETAK

Kaedah percukaian cukai petak akan mula dilaksanakan pada 1 Januari 2020 ke atas rumah berstrata. Ia bukan cukai baru atau cukai tambahan tetapi menggantikan cukai tanah yang telah sedia ada. Pengenaan cukai petak ini adalah lebih praktikal dan telus berbanding cukai tanah sebelum ini kerana formula pengiraan cukai petak adalah bertepatan dengan keluasan sebenar petak bangunan berdasarkan hakmilik strata yang telah didaftarkan.

Ia juga memudahkan pemilik rumah bestrata berurusan secara langsung dengan pihak kerajaan dalam urusan cukai mereka tanpa perlu melalui pihak pengurusan bangunan (JMB) sebagaimana sebelum ini. Kegagalan pihak JMB membayar cukai tanah, atas sebab adanya beberapa pemilik yang tidak membayar bahagian mereka, telah menimbulkan berbagai masalah terhadap pemilik berstrata lain yang telah membayar segala yang diperlukan.

3. BAS GO KL

DBKL telah mengambil alih pengurusan bas percuma ini dari Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD) mulai 1 Januari 2019. DBKL berazam untuk menambah kualiti dan skop perkhidmatan bas percuma ini. Sebelum ini, empat laluan yang sedia ada adalah lebih bersifat batuan terakhir (last mile) sahaja, iaitu dari stesen pengangkutan awam ke tempat kerja. Mulai bulan Februari, khidmat bas ini akan ditambah untuk batuan pertama (first mile) iaitu dari rumah ke stesen pengangkutan awam. Buat permulaan, dua laluan batuan pertama akan ditambah kepada sistem pengangkutan bas ini.

4. WAKTU PERNIAGAAN PUSAT HIBURAN

Mesyuarat semalam juga bersetuju untuk mengekalkan waktu operasi pusat-pusat hiburan yang ada di Kuala Lumpur tetapi penguatkuasaan ke atas peraturan termasuk waktu operasi ini akan diperketatkan. DBKL tidak akan berkompromi dengan perlanggaran undang-undang dan syarat operasi, khasnya yang melibatkan

penggunaan dadah dan pelacuran. Mana-mana pusat hiburan yang melanggar mana-mana peraturan yang ditetapkan akan dikenakan tindakan. Atas kesalahan pertama, surat amaran akan dikeluarkan. Sekiranya berulang, maka surat amaran akan diikuti penutupan premis atau perampasan peralatan.

Di Kuala Lumpur terdapat 627 pusat hiburan. Yang melibatkan penutupan jam 5 pagi (24) dan 3 pagi (118) berada di kawasan pusat bandar dan kawasan pinggiran tertentu (31). Selebihnya berada di luar kawasan pusat bandar dan ditutup pada jam 2 pagi, 1 pagi dan 12 tengah malam mengikut kategori dan lokasi masing-masing. DBKL akan berusaha untuk mendapat persetujuan pusat hiburan yang tutup pada jam 2 pagi (233) agar ditutup pada jam 1 pagi.

5. YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Ahli mesyuarat juga telah bertanya tentang kedudukan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP). Penjelaskan secara ringkas berhubung kedudukan YWP sebagai badan untuk menjaga kebajikan warga Wilayah telah diberikan. Satu taklimat khas akan dibuat mengenai YWP dan program-program kebajikan yang dijalankannya dalam mesyuarat akan datang.