Malaysia Dateline

Wala bukan pada pemimpin yang rasuah, pencuri dan kleptokrat

Ahli Umno dinasihatkan supaya tidak menerima bulat-bulat arahan Presiden mereka, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya wala atau taat setia kepada pemimpin parti.

Wala atau memberi taat setia kepada pemimpin yang rasuah, mencuri wang rakyat dan kleptokrat seolah-olah menggalakkan lagi amalan buruk tersebut dijadikan amalan tanpa merasa bersalah.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang, Marzuki Yahya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Marzuki Yahya berucap dalam satu program Bersatu.

“Ucapan penggulungan Najib semasa Perhimpunan Agung Umno (Pau) minggu lalu boleh diibaratkan sebagai meminta sedekah yang bersungguh-sungguh daripada ahli beliau.

“Dengan harapan yang begitu menggunung kita dapat saksikan bagaimana Najib menggunakan istilah ‘wala’ khusus bagi mendapatkan sokongan yang semakin pupus.

“Najib sebenarnya sedar dan tahu Umno kini semakin tidak mendapat sokongan majoriti orang Melayu yang telah pun menyertai Bersatu, AMANAH dan juga PKR,” jelasnya lagi.

Malah atas kesedaran tersebut katanya, Najib terpaksa menggunakan pelbagai istilah yang sering digunakan oleh Pas bagi menarik sokongan ahli sebelum ini.

Ujar Marzuki lagi, wala seharusnya pada pemimpin yang tidak pernah dipersoalkan tentang ke mana perginya wang derma yang didakwa sebanyak RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadinya.

“Takkanlah hendak wala pada pemimpin yang masih dipersoalkan mengenai isu hutang 1MDB yang belum selesai dan menyebabkan negara berada dalam situasi yang amat meruncing.

“Apa lagi isu kedudukan MO1 yang dipertikaikan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat sehingga ia memalukan negara.

“Masakan perlu taat setia pada seorang pemimpin yang menzalimi rakyat dengan mengenakan cukai GST melampau terhadap rakyat yang miskin,” tanya beliau lagi.

Tegasnya lagi, sekiranya ahli Umno terus menerus memberikan taat setia kepada Najib, yakinlah mereka turut bersubahat dalam menganiayai rakyat marhaen dan golongan berpendapatan rendah.

Oleh itu katanya, rakyat negara ini tidak harus menjadikan Pau sebagai teladan kerana ia banyak menyimpang daripada kebenaran yang sebenarnya.

“Mana ada agenda rakyat miskin yang mereka bangkitkan dalam Pau tersebut.

“Tidak ada seorang pun daripada mereka yang peduli terhadap beban kos sara hidup yang semakin melampau menekan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Apakah ada antara mereka yang mempersoalkan mengenai pengangguran yang mencambah dalam kalangan lepasan institusi pengajian tinggi dan hala tuju mereka?” soalnya..

Rentetan itu tambahnya, rakyat dalam negara ini dirayu agar tidak memberi mandat sekali lagi kepada Umno-BN untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga menyarankan agar majoriti rakyat dalam negara ini membuat perubahan drastik dengan tidak bersekongkol dengan Umno-BN untuk mencekik darah rakyat melalui polisi berat sebelah yang diamalkan kini.

Sehubungan itu jelasnya, Umno dan BN mesti dinyahkan segera dari persada politik negara agar mereka merasai pengalaman sebagai pembangkang menjelang pilihan raya umum ke-14 yang semakin hampir.

“Tolak Umno dan BN.

“Buangkan mereka jauh-jauh daripada minda dan fikiran kita.

“Ingat beban hidup sekarang, kesusahan rakyat, kesulitan yang berganda kini adalah hasil kelemahan kepimpinan Umno-BN yang diterajui Najib dan kabinetnya,” tambahnya.