Malaysia Dateline

Walau 20 peratus pelari luar negara, perlumbaan larian denai tetap diteruskan hari buang undi

Walaupun 20 peratus peserta sebuah perlumbaan larian denai di Bukit Larut, Taiping adalah pelari luar negara, perancangan awal pada 19 November tetap diteruskan seperti dijadualkan.

Festival The North Face – Jejak Gunung Malaysia atau The North Face – Malaysia Mountain Trail Festival 2022 (TNF-MMTF 2022) dijadualkan antara 17 hingga 20 November depan.

Pengarah TNF-MMTF 2022, Ewegene Tan menerusi kenyataan hari ini berkata, kebanyakan pelari terutama lebih daripada 20 peratus dari luar negara telah membayar dan mengesahkan penerbangan dan penginapan mereka untuk tarikh tersebut.

“Untuk menangguhkan perlumbaan, bermakna banyak wang akan menjadi sia-sia.

“Sebahagian daripada wang adalah dana yang diperoleh dan disimpan dengan susah payah oleh para peserta untuk menyertai perlumbaan,” katanya selain memberitahu 97 peratus peserta adalah bukan dari Taiping.

Kenyataan pihak penganjur itu susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini yang menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

Sementara itu, rata-rata peserta tempatan terutama yang terlibat sebagai petugas SPR memberitahu mereka terpaksa menarik diri daripada menyertai perlumbaan lantaran memberi keutamaan kepada kelancaran proses PRU-15.

Tidak kurang juga pelari denai yang merupakan antara 21,173,638 pemilih menyatakan rasa kecewa dan terkilan apabila tidak dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi jika perlumbaan itu diteruskan pada 19 November ini.

Untuk rekod, seramai 363,515 petugas dilantik SPR bagi mengendalikan proses PRU15 dan PRK DUN Bugaya Sabah.

Event organizer kena ada sikap bertanggungjawab. Memang tak semua pergi mengundi tapi sebagai organizer kena beri laluan untuk semua mengundi.

“Boleh kena report polis buat macam ni. Kerja pun, company kena bagi laluan pekerja mengundi,” demikian antara reaksi peserta.

Mengulas keputusannya tidak menangguhkan perlumbaan, Ewegene menegaskan pihaknya tidak mengikut politik dalam penganjuran sukan lasak itu.

“Walaupun kami menyokong kerajaan hari ini, kami tidak boleh membenarkan politik menentukan perlumbaan memandangkan perlumbaan ini mempunyai bilangan peserta antarabangsa yang ramai,” jelasnya meskipun peserta luar negara hanya 20 peratus daripada jumlah keseluruhan peserta.

Menurutnya, keputusan untuk meneruskan perlumbaan pada hari pengundian PRU-15 itu demi menjaga nama baik Malaysia sebagai destinasi larian denai di mata warga dunia.

Dia juga yakin pelari antarabangsa akan menjauhi perlumbaan larian denai di Malaysia selepas ini jika mereka menangguhkan acara tersebut.

TNF-MMTF 2022 menyaksikan penyertaan lebih daripada 2,400 pelari bagi kategori Kilometer Menegak (VK) sejauh 5km, 13km, 25km, 50km dan 100km dengan yuran pendaftaran antara RM158 hingga RM478.

Baca juga ‘Buatlah masa gaji, rasa macam tak balik mengundi’ – Ramai mengeluh buang undi ketika poket kering

Baca juga Makan lobak untuk elakkan rabun sebenarnya mitos, hanyalah kempen masa perang dunia kedua