Malaysia Dateline

Walau ada 110 MP, menteri Pas anggap kerajaan PN masih sah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini masih sah dan mempunyai bilangan ahli Parlimen yang mencukupi.

Ahli Parlimen Kota Bharu dari Pas itu berkata, kedudukan kerajaan tidak terjejas meskipun Ahli Parlimen Machang dari BN Ahmad Jazlan Yaakob menarik diri daripada menyokong kerajaan PN.

“Saya dapat maklumat penarikan sokongan itu menerusi media semalam. Saya juga tidak faham matlamat atau niat dia itu macam mana.

“Apapun kerajaan yang ada sekarang ini sah dan mempunyai bilangan (Ahli Parlimen) yang cukup,” katanya.

Setiausaha Agung Pas itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu, di Permaisuri, hari ini.

Sokongan yang dimiliki Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada masa ini berkurang kepada 110 daripada 220 ahli Parlimen.

Dua daripada jumlah keseluruhan Dewan Rakyat kosong kerana kematian penyandangnya iaitu Liew Vui Keong (Batu Sapi) dan Hasbullah Osman (Grik).

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) hanya memiliki 91 ahli Parlimen manakala 17 ahli Parlimen pembangkang lagi tidak menyertai mereka.

Mengulas lanjut, Takiyuddin menyifatkan kerajaan PN berfungsi dengan baik sejak bermula pada Mac hingga pada masa ini.

Hujahnya, rakyat boleh melihat bagaimana kerajaan PN sekarang berfungsi dengan baik.

“Jadi kami (kerajaan) akan terus berkhidmat melalui organisasi kerajaan di semua peringkat,” katanya.

Semalam, Ahmad Jazlan mengumumkan keputusan menarik diri daripada menyokong kerajaan PN, selepas meletak jawatan sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) awal bulan ini.