Malaysia Dateline

Walau ada genjatan senjata, kekejaman Israel mesti dihentikan

Genjatan senjata antara rejim zionis Israel dan Palestin (Gaza) telah disambut baik bagaimanapun kekejaman Israel terhadap umat Islam Palestin mesti dihentikan.

Ahli Lembaga Liga Ahli-ahli Parlimen Al-Quds Syed Ibrahim Syed Noh berkata, walaupun genjatan senjata diterima namun semua pihak harus berwaspada terhadap kemungkinan kemelut ini akan berulang.

Katanya, gencatan senjata tidak akan dapat menggantikan nyawa yang hilang dan penderitaan yang terpaksa
dialami oleh rakyat awam terutama dalam kalangan anak-anak, wanita dan warga emas, rakyat Palestin.

“Pada masa yang sama, jenayah perang dan kemanusiaan oleh rejim zionis Israel tidak boleh dilupakan
begitu sahaja.

“Tercetusnya konflik akibat sikap angkuh rejim zionis Israel dan apartid ala pembersihan etnik di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah dan Masjid Al-Aqsa tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Namun dalam waktu sekarang, beliau berkata tindakan segera wajar diambil untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Palestin.

“Dunia wajar segerakan bantuan untuk mangsa konflik khususnya bantuan perubatan, pemakanan, keperluan harian dan pemulihan semula rumah serta bangunan di Gaza.

Bulan mac lalu, pendakwaraya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Fatou Bensouda, telah menyatakan bahawa pihak ICC memandang serius akan siri peristiwa yang berlaku dan telah membuka siasatan rasmi.

Beliau mengingatkan semua pihak untuk tidak mencetuskan tindakan yang boleh mengakibatkan pelanggaran jenayah perang.

Dengan konflik terkini ini, menurut Ahli Parlimen Ledang itu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Palestin wajar menuntut ICC untuk segera memulakan tindakan dakwaan ke atas jenayah kemanusiaan dan perang yang dicetuskan oleh rejim zionis Israel.

Justeru katanya, meskipun gencatan tercapai dalam keadaan di mana rejim zionis Israel bertindak ganas dan pihak Palestin berjaya mempertahankan diri dan menghadapi rintangan, namun asas konflik ini tidak boleh diselesaikan sehingga rejim zionis Israel menghentikan penjajahan, pencerobohan, jenayah kemanusiaan dan apartid ke atas Palestin.

Pada jam 2 pagi waktu Palestin hari ini, gencatan senjata antara rejim zionis Israel dan Palestin (Gaza)
telah berkuatkuasa.

Berita ini disambut baik demi keamanan, kemanusiaan dan nyawa mereka yang yang dipertaruhkan khususnya di kalangan rakyat Palestin yang menanggung derita keganasan dan penindasan rejim zionis Israel.

Sepanjang 11 hari konflik, seramai lebih daripada 240 orang telah terbunuh, termasuk lebih 100 orang
kanak-kanak dan wanita, beribu yang tercedera, berpuluh ribu yang kehilangan tempat berteduh serta
beratus bangunan termasuk hospital, bangunan penempatan dan menara media yang telah musnah,
kebanyakannya di Gaza.