Malaysia Dateline

Walau Agong bertitah boleh bersidang, Parlimen masih digantung 8 Mac

Walaupun Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat, Perdana Menteri bagaimanapun enggan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, Dewan Rakyat tidak akan bersidang pada 8 Mac hingga 8 April ini.

Menurutnya, tarikh awal yang dijadualkan itu adalah sebelum pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Oleh yang demikian, katanya, tarikh persidangan akan datang masih belum ditentukan.

“Tiada sidang Dewan Rakyat seperti yang dilaporkan media pada 8 Mac ini. Tarikh berkenaan sebelum darurat.

“Kita masih belum ada tarikh pembukaan sidang Dewan Rakyat pada tahun ini.

“Ada beberapa prosedur yang kita perlukan. Jadi ia bukan seawal 8 Mac ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini hanya mempunyai 109 sokongan ahli Dewan Rakyat serentak dengan ‘perang’ yang meruncing antara Umno dan Bersatu.

Keabsahan kuasa Perdana Menteri penting kerana segala perbahasan dan keputusan Parlimen adalah tidak sah apabila diletakkan di bawah Eksekutif yang tidak sah.

Sebelum ini, laman web Parlimen memaklumkan takwim mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-14 akan bermula 8 Mac dan tamat pada 8 April.

Kerajaan PN telah mengisytiharkan darurat bermula 11 Januari lalu hingga 1 Ogos sekali gus telah menyebabkan persidangan Parlimen digantung.

Bagaimanapun, Istana Negara dalam satu kenyataan pada 24 Februari lalu memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al’Mustafa Billah Shah bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Hal tersebut termaktub dalam sub perenggan 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang mengatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Keengganan Muhyiddin mengadakan sidang Parlimen dengan segera dipersoal banyak pihak memandangkan kebanyakan sektor ekonomi dan sosial yang lain tetap diteruskan.

Bahkan, murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah rendah seluruh negara akan mula bersekolah esok.

Turut kembali hadir ke institusi masing-masing esok ialah kumpulan pelajar kolej vokasional bagi Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Tahun Satu Semester Dua dan Diploma Vokasional Malaysia Tahun Satu Semester Dua.