Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mahu aktiviti sosial di ibu kota dikurangkan untuk memastikan penularan Covid-19 dikawal namun pada masa sama ekonomi mampu terus berjalan.
Katanya, semua pihak harus bekerja keras untuk memastikan ibu kota ‘bebas’ dari dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk ketika membeli keperluan Raya di di bazar Aidilfitri.
“Banyak kegiatan ekonomi di Kuala Lumpur yang dibenarkan tapi peningkatan terhadap kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) mesti digandakan.
“Kita tidak mahu aktiviti ekonomi terganggu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Prihatin Ramadan Media, di ibu negara hari ini.
Untuk rekod, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini merekodkan 408 kes baharu Covid-19 dengan empat daripadanya adalah kes import dari luar negara.
Kuala Lumpur mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak 44,777 kes Covid-19 iaitu negeri keempat tertinggi bilangan kes kumulatif selepas Selangor, Sabah dan Johor.
Daripada jumlah kes hari ini di Kuala Lumpur, 247 kes dikesan melalui saringan kontak rapat kes positif pandemik itu.
Sementara itu, 139 kes adalah daripada lain-lain saringan Covid-19 manakala 18 kes daripada kluster-kluster, termasuk 12 kes daripada kluster-kluster baharu iaitu Kluster Jalan Yahya 2 dan Kluster Layangan Labuan.
Annuar menegaskan pihaknya tidak akan memohon pelaksanaan PKP di Kuala Lumpur secara menyeluruh dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana kegiatan ekonomi di ibu kota perlu terus berjalan.
Sebaliknya, Annuar berkata, PKP di ibu kota boleh dilaksanakan secara bersasar mengikut sistem Hotspots Identification for Dynamic Engangement (HIDE).
“Setakat ini belum ada keperluan untuk PKP menyeluruh di Kuala Lumpur namun PKP secara bersasar akan dipertimbangkan berdasarkan data melalui sistem HIDE.
“Kalau sistem HIDE kata kawasan tertentu boleh menimbulkan penularan yang besar, maka kawasan itu perlu dikenakan PKP.
“Kita ada pendekatan sendiri untuk mengawal Covid-19 tetapi segalanya kita rujuk dengan MKN,” kata Annuar lagi.
Dalam hal berkaitan, kerajaan bersetuju supaya premis yang mempunyai risiko penularan Covid-19 disenarai dalam sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) bermula 7 Mei ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata ia bagi membolehkan premis perniagaan itu diletakkan sebagai lokasi amaran atau ‘hotspot’ terhadap kemungkinan pembentukan kluster yang besar.
Pada masa ini, sebanyak 1,660 lokasi berisiko kepada penularan Covid-19 dikenal pasti menerusi HIDE berbanding minggu lalu 1,170 lokasi amaran atau ‘hotspot’ terhadap kemungkinan pembentukan kluster yang besar.