Malaysia Dateline

Walau berat hati, Sultan Selangor terpaksa terus hadkan fungsi masjid, surau

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin ldris Shah Alhaj, menzahirkan rasa berat hati apabila masih berpendirian bahawa aktiviti keagamaan di masjid dan surau mesti terus dihadkan khususnya solat berjemaah susulan penularan Covid-19 yang masih membimbangkan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Alam Shah hari ini, memaklumkan baginda berpendirian sedemikian demi keselamatan seluruh umat Islam di negeri itu yang baginda kasihi.

“Disebabkan itu, sehingga hari ini, walaupun berat hati, baginda masih berpendirian bahawa aktiviti keagamaan di masjid dan surau mesti dihadkan khususnya solat berjemaah, demi keselamatan seluruh umat Islam di negeri ini yang baginda kasihi,” jelas kenyataan itu.

Baginda menegaskan bahawa masjid tidak pernah ditutup dan bukan sesuatu yang mudah untuk baginda menitahkan agar masjid-masjid mengehadkan kehadiran jemaah untuk menunaikan solat Fardhu dan Solat Jumaat.

“Keputusan ini diambil selepas meneliti dan memantau dengan terperinci, data dan statistik penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan di Selangor.

“Sehingga 9 Julai lalu, negeri ini merekodkan sejumlah 1,933 kematian (28 kematian pada 9 Julai), dengan 4,400 kes jangkitan harian baharu.

“Apa yang lebih membimbangkan, pada akhir Jun lalu, data menunjukkan kematian dalam kalangan orang Melayu di Selangor mencecah 855 orang, iaitu lebih daripada separuh daripada jumlah 1,571 kematian ketika itu,” jelas kenyataan itu.

Memanjatkan doa

Dalam kenyataan sama, Sultan Selangor juga bertitah, beberapa minggu sebelum Ramadan yang lalu, apabila kelonggaran diberikan untuk aktiviti ibadat, kadar jangkitan terus merebak sehingga mewujudkan beberapa kluster baharu membabitkan masjid dan surau negeri ini.

Sehubungan itu, baginda kesal kerana meskipun pelaksanaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dikawal dan diperketat di masjid-masjid, namun penularan wabak berbahaya ini terus mengganas.

“Baginda sendiri tidak sanggup lagi untuk melihat visual memilukan, memapar kesedihan waris keluarga kerana tidak berkesempatan menziarah di hospital dan menghantar jenazah ke tanah perkuburan.

Mengikut kenyataan itu lagi, Sultan Selangor menegaskan penularan wabak Covid-19 adalah berbeza bagi setiap negeri, justeru perbandingan tidak boleh dibuat secara kasar.

Apatah lagi, Selangor sehingga kini masih lagi menjadi negeri dengan catatan kes baharu dan kematian tertinggi sejak beberapa bulan lalu.

“Bagaimanapun, titah baginda, sekiranya jumlah kes jangkitan baharu terus menurun dan jumlah peratusan pemberian vaksin berbanding jumlah populasi terus meningkat, Insya Allah, masjid dan surau akan kembali dibuka seperti biasa.

“Sehingga itu terjadi, baginda mahu seluruh umat Islam di Selangor terus menunaikan solat dan beribadat di rumah serta tidak putus memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar menghapuskan wabak berbahaya ini.

“Di kesempatan ini, baginda ingin menasihatkan umat Islam agar kekal tabah dan bersabar kerana wabak ini adalah satu ujian dan dugaan supaya sentiasa mengingati kebesaran Allah SWT,” tambahnya lagi.

Taburan kes Covid-19 seluruh Selangor sepanjang tempoh 14 hari setakat semalam.