Malaysia Dateline

Walau bergelar OKU, produk tulisan khat Zafri mampu sara hidup

Tidak ada siapa pun yang ingin dirinya menjadi orang kurang upaya (OKU). Namun begitu, telah suratan takdir dialami Zafri Zainal Abidin, 54 tahun.

Beliau yang dilahirkan sempurna kini bergelar OKU apabila tangan kirinya tidak berfungsi selepas terlibat dalam kemalangan pada 1987.

Namun begitu, sikap gigih beliau yang dahulunya bekerja di sebuah bank untuk memperbaiki hidup dan mengelakkan status OKU sebagai penghalang untuk berjaya harus diteladani.

Semasa ditemui Malaysia Dateline di kediamannya di Seberang Jaya, Pulau Pinang, terbukti Zafri bersungguh-sungguh mampu untuk menyiapkan pesanan orang ramai bagi mendapatkan tulisan khat, poster keluarga dan pemandangan.

Dibantu anak dan menantunya, Zafri juga berbakat menghasilkan pelbagai jenis tulisan rumi dan jawi yang cantik hanya dengan melakukannya di rumah sahaja.

Walaupun hanya bergantung pada tangan kanannya, Zafri bertekad untuk membuktikan bahawa status OKU bukan penghalang untuk terus mencapai cita-citanya sebagai pengusaha kreatif hiasan tulisan ayat al-Quran, khat dan poster daripada pelbagai jenis dan bentuk.

“Walaupun pada awalnya hilang semangat kerana tidak lagi mampu menggunakan kedua-dua tangan seperti sedia kala, saya tidak putus asa.

“Berkat tunjuk ajar pelbagai agensi kerajaan dan kreativiti yang ada, akhirnya ternyata seni kreatif ini mampu untuk menjana pendapatan walaupun tidak seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kini pesanan banyak diterima secara atas talian dan saya bersama anak dan menantu menjadikan menjadikan seni ini sebagai sumber pendapatan,” kata beliau.

Apa yang pasti, tambah Zafri lagi, berusaha sedaya upaya mampu untuk membawa hasil bagi keluarga walaupun agak terkesan dengan pandemik Covid-19 yang masih berlarutan.

Antara hasil kraf khat Zafri di Pulau Pinang dibantu anak dan menantunya.