Malaysia Dateline

Walau Covid-19 mengganas, taman awam KL kembali dibuka hari ini

Taman Metropolitan Kepong antara 17 taman awam di KL yang dibuka kembali ketika kes Covid 19 terus melonjak

Walaupun kes baharu positif Covid-19 sedang meningkat secara mendadak, kesemua 17 taman awam di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dibuka semula mulai hari ini.

DBKL menerusi Facebook lewat malam tadi memberitahu, bagaimanapun pengunjung diingatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Notis makluman itu hanya beberapa jam selepas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menyebut tentang pembukaan semula taman awam hasil rundingan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Setiausaha Barisan Nasional (BN) tersebut berkata, kebenaran membuka semula taman awam itu perlu disertai kawalan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“SOP PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) membenarkan aktiviti bersukan tertentu. Padang golf dibuka. Gimnasium dibuka. Tetapi taman awam ditutup.

“Susulan konsultasi dengan MKN dan KKM, JKKN (Jawatankuasa Kerja Keselamatan) WP (Wilayah Persekutuan) memutuskan taman awam di WP boleh dibuka dengan syarat ada kawalan pematuhan SOP,” ciapnya di Twitter petang malam.

Mulai 14 Oktober lalu, semua taman awam di bawah seliaan DBKL ditutup kepada orang awam sepanjang tempoh PKPB.

DBKL sebelum ini memaklumkan penutupan 17 taman awam terbabit antaranya Taman Tasik Titiwangsa dan Taman Rimba Bukit Kerinchi hingga 27 Oktober ini.

Walau bagaimanapun pembukaan semula taman awam itu, jelas Annuar demi memberi peluang kepada warga WP melakukan aktiviti riadah tertakluk kepada yang dibenarkan saja.

Keputusan tersebut dilihat bercanggah dengan saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hariannya semalam agar SOP diperketat di kawasan yang dikenakan PKPB.

Menurutnya, langkah itu bagi mengekang penularan Covid-19 dalam komuniti memandangkan angka jangkitan baharu virus tersebut dijangka boleh mencecah hingga 1,300 sehari menjelang 31 Oktober ini.

Kes harian positif Covid-19 menyaksikan peningkatan mendadak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan jumlah tertinggi semalam sebanyak 871 kes.