Malaysia Dateline

Walau dalam kerajaan PN, Pas Wilayah akan hantar nota bantahan buka sektor judi

Pas Wilayah Persekutuan akan menghantar nota bantahan bagi menghalang pembukaan sektor industri perjudian.

Pihaknya sukar memahami tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam membenarkan sektor terbabit beroperasi.

Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya berkata, langkah membuka semula kasino walaupun terhad kepada ahli kumpulannya sahaja jelas tidak memberikan apa-apa manfaat kepada negara.

“Sukar untuk difahami mengapa dalam tempoh yang kritikal ini kerajaan boleh membenarkan kasino dan syarikat perjudian seperti Magnum 4D dapat beroperasi semula.

“Bahkan, implikasi perjudian tidak kurang lebih sama dengan implikasi daripada arak yang membawa kepada kecelakaan sosial dalam masyarakat di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Azhar, kebenaran itu tidak wajar diberi kerana beranggapan terdapat banyak lagi bantuan yang boleh dihulurkan kerajaan.

“Pada satu tangan, kita berusaha memperbanyakkan peluang pekerjaan bagi menggalakkan rakyat di negara ini berusaha.

“Namun, malangnya satu tangan yang lain pula seolah-olah membiarkan rakyat menyerahkan nasib dengan aktiviti perjudian,” kata Azhar lagi.

Sehubungan itu, Pas Wilayah berharap kerajaan PN yang juga dianggotai oleh parti tersebut mempertimbangkan semula kebenaran pembukaan sektor perjudian itu.

Sebelum ini, syarikat pengendali kasino, Resort World Genting (Resort World), serta syarikat nombor ramalan, mengumumkan bahawa operasi mereka kembali seperti lazimnya selepas mendapat kebenaran daripada kerajaan.

Pengumuman itu dibuat Resort World bersama syarikat Sports Toto, Magnum Bhd dan Pan Malaysian Pools Sdn Bhd (Da Ma Cai) melalui media sosial serta laman sesawang masing-masing.