Malaysia Dateline

Walau dilanda masalah, kehadiran perwakilan AMANAH cecah 98 peratus

Timbalan Setiausaha Agung AMANAH, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus tampil memohon maaf atas keputusan parti sebelum ini mengarahkan sejumlah cawangan dan kawasan mengadakan mesyuarat tahunan dan pemilihan semula.

Walaupun keadaan tersebut timbul, jelasnya, kehadiran pada hari ini mencecah 98 peratus daripada 157 Kawasan berdaftar.

“Kehadiran pada hari ini mencapai 98 peratus iaitu hanya tiga kawasan tidak dapat bersama pada malam ini.

“Itu pun berlaku kerana atas sebab teknikal. ‘Bantahan atas bantahan’ jadi tiga kawasan itu tidak dibenarkan hadir.

“Saya sekali lagi memohon maaf dan menyusun 10 jari kepada semua ahli pada malam ini,” ujar Abang Ahmad Kerdee lagi sebelum Minit Konvensyen Nasional 2018 AMANAH diluluskan.

Terdahulu, beberapa perwakilan bangkit mempersoalkan pemilihan semula melibatkan 655 Cawangan dan 81 Kawasan termasuk sayap pemuda dan wanita selepas mesyuarat yang dijalankan sebelum ini tidak sah.

Malam ini, seramai 925 perwakilan yang hadir akan memilih saf pimpinan bagi sesi 2019-2022 melibatkan jawatan Speaker, Timbalan Speaker, Juruaudit dan 27 Ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan Nasional.

Konvensyen Nasional 2019 AMANAH 2019 kali ini menyaksikan proses pemilihan jawatan dalam parti selepas penubuhannya pada 16 September 2015.