Walau hari bekerja, pemilih diseru ikhtiar keluar mengundi, seru Aktivis Guaman

Walau hari bekerja, pemilih diseru ikhtiar keluar mengundi, seru Aktivis Guaman

Aktivis Syahredzan Johan menyeru pengundi cuba sedaya upaya untuk keluar mengundi pada 9 Mei depan memandangkan tarikh itu sengaja dipilih bagi memastikan peratusan keluar mengundi rendah.

Menurutnya, majikan boleh mempertimbangkan jadual untuk pekerja mereka keluar mengundi secara berperingkat manakala bagi pemilih yang jauh dibenarkan mengambil cuti.

“Kita boleh bantu-membantu rakan sekerja kita yang kena ambil cuti, atau bila tiba giliran mereka untuk keluar mengundi.

“Yang bercadang untuk memandu, apa kata carpool dengan orang lain untuk balik mengundi. Sekarang ada media sosial, boleh sahaja cari orang untuk kita pakat sama-sama balik mengundi. Duit minyak dan tol kita kongsi sama-sama,” sarannya.

Pengamal undang-undang itu berpendapat tiada kewajaran untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan hari membuang undi pada hari Rabu.

“Ia tidak masuk akal, ia tidak munasabah dan tidak rasional. Ini bukan keputusan berpaksikan rakyat sebagai pertimbangan utama.

“Hanya ada satu sebab mengapa mereka tetapkan pada hari Rabu. Untuk memastikan peratusan keluar mengundi rendah,” dipetik daripada kenyataan beliau di Facebook.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilihan Rabu sebagai hari membuang undi menyukarkan pengundi yang bekerja dan paling terkesan dengan isu-isu ekonomi dan kos sara hidup mungkin akan cenderung mengundi Pakatan Harapan (PH).

“Tetapi jika pada hari bekerja, ia menyusahkan mereka untuk ambil cuti untuk balik mengundi. Apatah lagi apabila ia di tengah-tengah mengundi.

“Pengundi Pantai Timur dan di Sabah dan Sarawak, adakah SPR tidak terfikir, bagaimana mereka mahu balik untuk mengundi? Cukupkah ambil cuti sehari untuk balik mengundi, kalau pun cuti dibenarkan?

“Di samping itu, ia juga akan memberi kesan kepada pengundi-pengundi Johor yang bekerja di Singapura. Majikan Singapura sudah tentu tidak akan membenarkan mereka ambil cuti hanya untuk mengundi,” hujahnya.

Sehubungan itu, pengundi perlu bersama-sama mencari jalan mengatasi halangan dan kesukaran yang dirancang.

Jika anda letak tepi topi rasional dan munasabah, dan pakai topi bahawa mereka ini berpihak, anda akan sedar mengapa tarikh pengundian ditetapkan pada hari Rabu.

“Ingatlah, ini peluang kita, yang hadir hanya setiap lima tahun untuk mengamalkan hak kita, hak yang cukup penting buat kita, untuk melibatkan diri dalam proses demokrasi untuk menentukan masa hadapan negara kita.

“Kita keluar mengundi dan tunjukkan pada mereka bahawa suara rakyat itu adalah suara keramat!
Mari, mari mengundi!” katanya lagi.

Sementara itu, SPR tidak membenarkan pemberita mengemukakan soalan semasa sidang media di Putrajaya tengah hari tadi.

Keputusan SPR memilih 9 Mei bersamaan 23 Syaaban 1439H sebagai hari membuang undi bagaimanapun dilihat mengundang kemarahan rata-rata pengundi.

Terdapat 14,968,304 pengundi berdaftar dengan 212,042 pengundi baru berdaftar antara Oktober dan Disember tahun lalu.

Sebanyak 112 kerusi Parlimen perlu dimenangi untuk mendapatkan majoriti mudah manakala 148 majoriti dua pertiga.

PRU-14 melibatkan 222 kawasan Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) tidak termasuk Sarawak yang mengadakan Pilihan Raya Negeri pada 2017.

7.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 6.0