Malaysia Dateline

Walau kes sedang menurun, belajar pengalaman negara jiran hadapi gelombang baru Covid-19

Pulau Pinang boleh menjadi model pendekatan keseluruhan masyarakat, di mana kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri menggembleng sumber serta tenaga manusia untuk bekerja bersama-sama 1.7 juta rakyat Pulau Pinang bagi memenangi pertempuran melawan Covid-19, melalui mitigasi wabak Covid-19 dan pada masa yang sama menjalani kehidupan normal semula.

Dasar pembendungan kerajaan persekutuan sebelum ini untuk membasmi Covid-19 gagal dengan teruk disebabkan ketidakpatuhan SOP oleh para Menteri dan VIP, dasar yang berubah-ubah dan amalan membezakan antara dua darjat dalam penguatkuasaan terhadap rakyat biasa dan golongan Menteri.

Kegagalan teruk tersebut terbukti dengan tindakan mengenepikan sepenuhnya Pelan Pemulihan Negara empat fasa yang diumumkan mantan Perdana Menteri Mahiaddin Md Yassin, di mana negara kita keluar daripada pelbagai fasa walaupun jangkitan harian masih berada di atas paras 4,000 kes.

Kedua-dua Mahiaddin, dan sebahagiannya Perdana Menteri sekarang Ismail Sabri, perlu bertanggungjawab atas kegagalan untuk melaksanakan pendekatan keseluruhan masyarakat bagi menyatupadukan semua pihak, termasuk pembangkang, dan rakyat untuk melawan Covid-19.

Satu pendekatan keseluruhan masyarakat telah diperkenalkan di Pulau Pinang apabila Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bersetuju dengan cadangan saya untuk melantik Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim sebagai Penyelaras Covid-19 Pulau Pinang pada 11 September 2021.

Ketika itu, Pulau Pinang telah mencatatkan angka kematian Covid-19 per kapita dan malah kes jangkitan harian per kapita yang tertinggi di seluruh negara untuk lebih sebulan.

Penggunaan katil ICU dan alat bantuan pernafasan telah menjangkau lebih 100% dan tiada respon terhadap tangisan terdesak untuk meminta tolong daripada pesakit Covid-19 dan ahli keluarga mereka.

Terdapat banyak kisah tragis di mana pesakit Covid-19 mati tanpa mendapat rawatan atau katil ICU yang diperlukan. Profesional perubatan telah menyatakan bahawa salah satu sebab kadar kematian yang tinggi adalah kerana kekurangan kemudahan perubatan terutamanya katil ICU untuk memberikan rawatan segera kepada pesakit Covid-19.

Pulau Pinang bukan sahaja telah menjadi lokasi merah untuk Covid-19 malah telah menjadi sebuah negeri yang hidup dalam ketakutan tanpa sebarang pertolongan dan harapan.

Dalam tiga minggu selepas pelantikan Steven Sim dan integrasi usaha kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri, Pulau Pinang kini telah menunjukkan kemajuan dalam melawan Covid-19. Purata kes harian dan jumlah kematian telah berkurangan dengan ketara bagi tiga minggu berturut-turut.

Daripada 1,865 kes positif tiga minggu yang lalu pada 11 September 2021, kes harian Pulau Pinang telah berkurangan kepada tiga angka bermula 26 September 2021 dengan 955 kes dan terus menjunam sehingga 768 kes pada 2 Oktober 2021.

Kadar positif juga telah menunjukkan perkembangan yang baik iaitu daripada hampir 20% pada 11 September 2021 kepada 7.5% pada 29 September 2021. Kita kini lebih dekat dengan piawaian 5% yang dicadangkan oleh Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk jumlah saringan yang mencukupi.

Kes kematian akibat Covid-19 juga telah berkurangan, daripada rekod tertinggi 47 kematian yang dilaporkan pada 9 September 2021 kepada 18 kematian semalam pada 2 Oktober 2021.

Rujukan untuk penggunaan katil ICU juga diberi perhatian berbeza dengan sebelum ini. Kegagalan menyediakan katil ICU kepada pesakit Kategori 5 tiada bezanya dengan memberi hukuman mati.

Walaupun tiada katil ICU tambahan diberikan semasa kes Covid-19 kita mula meningkat pada penghujung Julai 2021, 22 katil ICU baru telah ditambah setelah intervensi agresif oleh Steven Sim, Ahli Parlimen DAP kawasan Bukit Mertajam yang dilantik sebagai Penyelaras Covid-19 antara kerajaan persekutuan dan negeri oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, dan Phee Boon Poh, Ahli EXCO kerajaan negeri Pulau Pinang yang dilantik sebagai ketua Pasukan Respon Kecemasan Pulau Pinang oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow pada 11 September 2021.

Segala perkembangan positif dalam tiga minggu ini adalah kerana langkah segera dan berkesan yang telah diambil, terutamanya dalam meningkatkan kapasiti sistem penjagaan kesihatan kita dengan membina sebuah hospital medan, mewujudkan lebih banyak katil Covid-19 serta katil ICU, memobilisasi lebih ramai tenaga kerja perubatan dan peralatan bagi menyokong beban kerja yang bertambah, lebih banyak kemudahan kuarantin, dan masa respon yang lebih pantas.

Saya telah dimaklumkan bahawa lebih kurang 20 lagi katil ICU akan ditambah dalam minggu-minggu yang akan datang. Setiap katil ICU berkos antara RM500,000 sehingga RM1,000,000 dan memerlukan tenaga kerja perubatan yang ramai.

Walaupun kita telah menunjukkan kemajuan, namun Pulau Pinang masih belum selamat lagi. DAP menyeru kerajaan persekutuan untuk mempercepatkan peruntukan sumber tambahan bagi memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan supaya kita boleh melaksanakan mekanisme cari, uji, kesan, kuarantin dan sokongan (FTTIS) dengan berkesan.

Kerajaan persekutuan juga perlu segera mewujudkan lebih banyak kemudahan ICU, termasuk ICU pediatrik di Pulau Pinang. Walaupun kes sedang menurun, kita perlu belajar daripada pengalaman negara-negara jiran yang sedang mengalami gelombang baru kes Covid-19.

Sistem penjagaan kesihatan kita perlu berada dalam keadaan bersiap sedia untuk bertindak segera jika ada sebarang peningkatan kes Covid-19 pada masa depan. Kita tidak boleh lagi melalui keadaan di mana respon yang lambat akan mengakibatkan penderitaan dan kematian.