Malaysia Dateline

Walau ketika Aidiladha, Ustaz Muhammad tetap cakna rakyat di Serkam

Calon muda Pakatan Harapan (PH) dari AMANAH yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam dikenali sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat.

Ustaz Muhammad Khomeini Kamal yang merupakan Ketua Pemuda AMANAH Melaka sudah berkhidmat kepada masyarakat setempat sejak 22 bulan pentadbiran kerajaan negeri PH sebagai Penyelaras AMANAH DUN Serkam.

Bapa kepada empat cahaya mata itu juga mempunyai latar pendidikan cemerlang dengan pernah menuntut di Universiti Al-Albayt, Jordan yang merupakan universiti terbaik.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari merangkap Pengerusi AMANAH negeri menceritakan bagaimana Ustaz Muhammad menghubunginya pada sambutan Hari Raya Aidiladha ketika baharu menjadi Ketua Menteri.

“Saya ingat lagi di kala saya mula-mula menjadi Ketua Menteri ketika sambutan Aidiladha, Hari Raya itulah, beliau (Ustaz Muhammad) telefon saya beritahu masyarakat di Tedong kena ribut.

“Beliau mempunyai rasa peduli yang tinggi terhadap kebajikan rakyat. Hari Raya itu juga saya pergi ke Tedong dan banyak rumah terkesan akibat bencana itu,” katanya dalam satu temubual yang dimuatnaik menerusi Facebook beliau malam tadi.

Ustaz Muhammad pada hari penamaan calon semalam.

Sehubungan itu, Adly yang juga calon bagi kerusi DUN Bukit Katil berkata, Ustaz Muhammad adalah anak Melaka yang wajar diberi peluang menjadi pemimpin di Serkam.

“Beliau telah memberikan perkhidmatan kepada rakyat di Serkam, menguruskan Japerun dan segala hal berkaitan pentadbiran di peringkat DUN.

“Pastinya beliau sudah melakukan kerja-kerja sebagai wakil rakyat. Kualiti pemimpin ada pada beliau yang cukup cakna kepada rakyat.

“Saya fikir beliau adalah pemimpin yang paling sesuai dengan masyarakat setempat di Serkam yang majoritinya Melayu.

“Inilah kualiti pemimpin terbaik yang PH tawarkan. Terpulanglah kepada pengundi untuk membuat pilihan yang tepat,” kata Adly lagi.

Untuk rekod, Ustaz Muhammad yang juga Timbalan Ketua AMANAH Jasin bakal berentap dalam pertandingan empat penjuru.

Tiga pencabarnya ialah Datuk Zaidi Attan (BN – Umno), Ahmad Bilal Rahudin (PN – Pas) dan calon Bebas, Norazlanshah Hazali.

N.26 Serkam mempunyai 15,977 pemilih berdaftar. Pada PRU-14, Zaidi memenangi Dun Serkam dengan majoriti 2,737 undi.

PRN Melaka yang melibatkan 28 kerusi DUN menyaksikan pertembungan enam penjuru di tiga kerusi DUN, lima penjuru (5), empat penjuru (9) dan tiga penjuru (11).