Malaysia Dateline

Walau maklumat di hujung jari, sastera lisan dilupa jangan

Kian hari kian canggih kemudahan teknologi, termasuk teknologi maklumat yang kita nikmati sehingga kalimat ‘maklumat di hujung jari’ bukan lagi sesuatu yang luar biasa.

Kesan daripadanya ialah perkara-perkara lama kian dilupakan walaupun ia juga boleh diakses menerusi media sosial selagi turut dimuatkan di dalamnya.

Krisis ini turut melibatkan karya sastera. Jika karya sastera hari ini pun tidak diendahkan, apatah lagi karya sastera lisan atau sastera rakyat.

Walau bagaimanapun, syukurlah masih ada pihak yang berusaha melestarikannya. Justeru, penganjuran Seminar Sastera Lisan Kebangsaan 2022 pada 13 dan 14 September lalu di Balai Seminar Tun Hamdan Syeikh Tahir, Wisma DBP amat dialu-alukan.

Ucaptama oleh Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Hj Salleh.

Sudah tentu kita berharap pihak-pihak yang berwewenang, terutamanya kerajaan dapat menerima dan menjayakan resolusi seminar berkenaan.

Sebagaimana yang dibentangkan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Seminar Sastera Lisan Kebangsaan 2022 yang juga wakil Persatuan Sastera Lisan Malaysia (PERSALIMA), Dr Minah Sintian, seminar tersebut menetapkan enam resolusi, iaitu:

•Pihak kerajaan harus memperkasakan sastera lisan untuk memenuhi prinsip-prinsip Rukun Negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

•Dana penyelidikan, penerbitan, latihan dan bimbingan perlu diwujudkan agar dapat membantu, menyokong dan mengiktiraf kepakaran dalam bidang sastera lisan.

•Mengadakan siri pertemuan dan bengkel yang melibatkan pelbagai suku etnik di Malaysia dan antarabangsa untuk menyemarakkan lagi kesedaran dan kajian/penyelidikan tradisi sastera lisan.

•Mengiktiraf kepakaran dalam bidang sastera lisan di institusi pengajian tinggi dalam pembinaan kurikulum dan pengisian jawatan tertinggi.

•Pusat pengajian tinggi awam dan swasta digalakkan untuk turut serta mengkaji sastera lisan suku kaum dan etnik yang belum dikaji secukupnya untuk tujuan memelihara jati diri bangsa, perpaduan dan kekayaan bangsa Malaysia.

•Mendigitalisasikan bahan-bahan sastera lisan agar menjadi khazanah bersama bangsa Malaysia.

Pensyarah Kanan UM/penggiat seni, Dr Shafa’atussara Silahudin antara pembentang seminar.

Resolusi seminar dibentangkan sebelum Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Saifullizan Yahaya menyampaikan ucapan penangguhan dan rumusan seminar.

Antara objektif seminar anjuran bersama PERSALIMA pimpinan Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Hj Salleh dan Bahagian Penyelidikan Sastera DBP ini ialah:

•Memperkasakan kesusasteraan kebangsaan melalui aktiviti wacana dan penghasilan kertas kajian.

•Mengetengah pemikiran dan falsafah yang tinggi nilainya yang terkandung dalam sastera lisan.

•Mengeratkan kerjasama penyelidikan dalam menyebarkan ilmu, terutamanya berkaitan kesusasteraan tradisional.

Pada kali pertama terlihat poster seminar ini di Facebook, saya tertanya-tanya dan kehairanan mengapa ia dianjurkan pada era semua orang menggunakan media sosial sekarang.

Namun demikian, apabila dikaitkan dengan teknologi hari ini seperti yang terpapar pada temanya, saya mula memahami kewarasan ia dianjurkan.

Lagipun, PERSALIMA telah empat kali menganjurkan seminar berkaitan sejak 2012 meskipun kurang diketahui ramai.

Seminar di DBP ini adalah yang pertama bagi peringkat kebangsaan dengan temanya ‘Sastera Lisan di Lapangan dan dalam Era Digital’.

Subtemanya pula ialah Falsafah Sastera Lisan, Kearifan Sastera Lisan, Sastera Lisan dan Era Digital, Pelestarian Sastera Lisan: Harapan dan Cabaran, Kepentingan dan Manfaat Sastera Lisan, Inovasi dalam Sastera Lisan, serta Sastera Lisan dan Apresiasi.

Tahniah diucapkan kepada PERSALIMA yang telah menganjurkan seminar di DBP Sarawak dengan tema ‘Kelestarian Alam, Persekitaran dan Budaya’ (2012), di Kuala Kangsar, Perak – ‘Jati Diri dan Kebebasan dalam Folklor Nusantara’ (2014), di Kangar, Perlis – ‘Asmara, Percintaan dan Kasih Sayang Folklor Nusantara’ (2015), dan di Gopeng, Perak – ‘Folklor, Hutan dan Kelestarian Alam’ (2018).

Dengan pembentangan 21 kertas kerja menerusi lima sesi pembentangan selepas ucaptama oleh Prof Emeritus Dr Muhammad, Sastera Rakyat di Denyut Tamadun Kita (dan lima kertas kerja iringan), Seminar Sastera Lisan Kebangsaan 2022 menumpukan kepada kajian dan penyelidikan berdasarkan sastera lisan yang berbentuk naratif, dan bukan naratif.

Ia merupakan antara usaha untuk menyebarluaskan ilmu berkaitan sastera lisan kepada khalayak agar tidak pupus ditelan zaman.

Antara kepentingan kajian ini termasuklah untuk melestarikan kesusasteraan Melayu, dan menunjukkan bahawa bidang ilmu sastera lisan perlu diketengah untuk mengekalkan jati diri Melayu.

Bukan sahaja golongan remaja. Dalam golongan dewasa pun ada yang tidak mengetahui apa itu sastera lisan atau sastera rakyat. Justeru, wajarlah seminar ini dianjurkan.

Sungguhpun tidak begitu ramai yang menghadiri secara fizikal – balai seminar melimpah-ruah kerana diadakan pada hari bekerja, tetapi kebenaran berseminar sedemikian semasa era Covid-19 ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya. Memang masih ada peluang mengikutinya secara langsung menerusi Facebook DBP.

Sastera lisan atau sastera rakyat merupakan warisan kesusasteraan Melayu yang amat tinggi nilainya. Ia juga sastera Melayu lama yang turut dikenali sebagai folklore, dan disampaikan secara lisan, dipertutur dan diperturun dari satu generasi ke satu generasi, dan menjadi milik bersama masyarakat Melayu. Pemikiran dan kehidupan masyarakat terdahulu menjadi panduan, dan teladan kepada masyarakat hingga ke hari ini.

Bahagian Penyelidikan Sastera DBP, dan PERSALIMA berharap seminar dapat memperlihat pandangan dan perspektif baharu daripada pengkaji dan khalayak mengenai kepentingan sastera lisan terhadap masyarakat.

Cuma agak dikesali perasmian Seminar Sastera Lisan Kebangsaan 2022 yang penting ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Mohd Yusri Mohd Yusoff.

Barangkali kerana Pilihan Raya Umum ke-15 yang dikatakan semakin hampir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Nancy Shukri tidak dapat hadir menyempurnakan perasmian seminar berkenaan.

Turut hadir dan menyampaikan ucapan ialah Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Salehuddin Abg Shokran (yang baru pulih daripada tahap dua Covid-19), serta Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Dr Hazami Jahari.

Baca juga Deklamasi puisi di tempat tinggi telah ada berdekad-dekad lalu

Baca juga Selepas 10 tahun, Proton kembali ke Afrika Selatan