Malaysia Dateline

Walau panas isu ‘Muslim friendly’, Neelofa lancar lima program infaq sambut Ramadan

Walaupun polis sedang menyiasat kes ‘bulan madu’ Neelofa dan suaminya di Langkawi serta kontroversi selipar ‘Muslim friendly’, jutawan tersebut telah melancarkan lima program infaq sempena Ramadan ini.

Menerusi Pertubuhan Kasih Neelofa (PKN), kesemua program infaq yang dilancarkan itu ialah Infaq Yaman, Infaq Quran, Infaq Rehal, Infaq Kasih Ummah (Susu Nilofa) serta Program Qurban 2021.

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 32, berkata, kesemua program infaq menyasarkan untuk mendekati lebih ramai golongan kurang bernasib baik.

“Kita juga ada infaq lain seperti Infaq Jumaat, Infaq Pendidikan dan Infaq Masjid di mana orang boleh terus beri sumbangan juga.

“Sumbangan boleh dibuat melalui portal Kasih Neelofa, di situ sudah ada semua dan orang ramai boleh pilih mereka mahu menyumbang bagi kategori mana,” katanya pada majlis pelancaran di ibu negara semalam.

Lapor Astro Awani, turut dilancarkan ialah program Iftar Box dan Food Box yang akan digerakkan melalui pemberian pek-pek makanan dan kotak makanan asas.

Kumpulan sasar terlibat terdiri daripada rumah kebajikan, perlindungan, madrasah serta komuniti perumahan kos rendah.

Sepanjang dua tahun penubuhan, PKN komited dalam menyantuni masyarakat di segenap lapisan dan giat melaksanakan program infaq untuk membaik pulih puluhan surau, masjid dan madrasah.

“Ramai yang terjejas dan sebagai pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NGO). Saya berharap lebih ramai lagi badan korporat atau individu perseorangan tampil untuk bersama-sama mengembeleng tenaga, membantu mereka yang lebih memerlukan,” kata Neelofa lagi.