Malaysia Dateline

‘Walau PN, Muhyiddin teruk dicemuh, pemimpin utama PH usah syok sendiri’

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengingatkan pentingnya Pakatan Harapan (PH) mengemukakan dasar ekonomi mereka termasuk bersiap sedia sekarang untuk merangka dasar bayangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Wakil rakyat PKR itu berpendapat PH perlu membentangkan pendekatan untuk menghasilkan peluang pekerjaan baharu bagi mengatasi masalah pengangguran lebih sejuta rakyat.

Beliau menegaskan pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) tidak harus membuang masa dengan isu remeh-temeh sebaliknya bertanggungjawab untuk memberi harapan kepada lebih 32 juta rakyat negara ini.

“Fenomena di media sosial yang menyaksikan warga netizen meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN tidak boleh menjadikan pemimpin utama PH syok sendiri dan goyang kaki.

“Perlu diingat kritikan dan cemuhan warga netizen terhadap Muhyiddin dan kerajaannya tidak akan boleh menjatuhkan kerajaan darurat PN itu dengan mudah begitu sahaja,” katanya.

Mengakui bukan mudah untuk PH berbuat demikian tetapi Hassan mengesyorkan agar majlis pemikir dalam bidang sosioekonomi dibentuk untuk memberi imput dan nasihat kepada PH dan parti pembangkang lain.

“Jangan hendak tunggu kerajaan PN jatuh, baru hendak fikir hal kehidupan sosioekonomi rakyat.

“Sekaranglah masanya dijemput golongan bijak pandai, ahli intelektual di universiti, atau yang telah bersara untuk sama-sama menyelamatkan negara.

“Jangan terlalu taksub untuk mengambil alih kuasa, tetapi apabila telah mendapat kuasa nanti tidak ada program, tidak ada polisi yang matang dan komprehensif untuk dilaksanakan.

“Maka akan jadi pisang berbuah dua kali seperti apabila perdana menteri daripada Langkawi terkejut kerana menang dan jadi kerajaan,” sinisnya.

Sehubungan itu, beliau berharap pemimpin utama PH tidak berlengah lagi untuk mencari penyelesaian antaranya, pendekatan untuk menarik kembali pelabur asing ke Malaysia; mempertingkatkan penarafan rating kewangan; melahirkan pekerja bergaji tinggi; memulihkan harga komoditi utama negara; mengurangkan kemiskinan; merapatkan jurang kaya-miskin; dan jurang kemajuan antara Semenanjung dengan Sabah-Sarawak.

“Jika PH dapat memberi harapan bahawa kehidupan rakyat biasa, dan kehidupan ekonomi negara dapat dipulihkan dan negara ini akan menjadi lebih baik, peluang untuk PH kembali diberi kuasa dan mandat akan mudah menjadi kenyataan,” tambahnya lagi.

Kelmarin, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan kadar pengangguran meningkat kepada 4.5 peratus pada 2020 iaitu kadar tertinggi sejak 1993 yang merekodkan 4.1 peratus.

Pengangguran meningkat kepada 772,900 orang pada Disember 2020 dengan bilangan penduduk bekerja susut 0.2 peratus kepada 15.1 juta orang akibat ketidaktentuan dalam pasaran buruh susulan krisis kesihatan dan ekonomi pada tahun lalu.