Malaysia Dateline

Walau ramai keluar Bersatu, Redzuan anggap golongan terpencil, tiada bahagian terbubar

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menyifatkan mereka yang keluar daripada parti itu adalah golongan terpencil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) itu mendakwa sebahagian besar ahli Bersatu masih bersama dengan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana parti itu tetap berpegang kepada perjuangannya sewaktu ditubuhkan.

Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah itu menegaskan tiada bahagian Bersatu yang terbubar susulan tindakan pihak yang mengumumkan keputusan keluar parti.

Katanya, isu pembubaran itu tidak timbul kerana bahagian terbabit masih berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Jika kita melihat perlembagaan parti, kalau ahli jawatankuasa (AJK) itu berhenti atau diberhentikan, bahagian terbabit tidak bubar kerana MPT boleh melantik atau memastikan bahagian itu tetap wujud.

“Jadi tidak timbul isu terbubar kerana yang berhenti adalah AJK bahagian dan MPT berkuasa untuk mengadakan mesyuarat bahagian bagi mengadakan pelantikan baharu,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Sejumlah pemimpin bahagian termasuk ketua dan ahli jawatankuasa parti mengumumkan keluar parti susulan pengumuman penubuhan parti baru oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 7 Ogos lalu.

Antaranya, Bersatu Kota Raja, Bangi, Shah Alam, Langkawi dan Merbok. Mereka dilihat menyertai parti baharu yang ditubuhkan Dr Mahathir.