“Walau sedar diri sudah berlaki, tetapi aku masih menaruh hati dengan suami orang”

Oleh MALAYSIADATELINE

Akibat terjerat cinta dengan suami orang, seorang wanita mengalami kemurungan sehingga terpaksa mengambil ubat untuk meneruskan kehidupan.

Walaupun hubungan itu sudah terhenti selepas si ‘suami orang’ tersebut ingin bertaubat, wanita berkenaan masih khuatir jika suaminya pula mengetahui perkara sebenar.

Tidak ingin dirinya diceraikan, berikut perkongsian wanita dikenali sebagai Mawar yang masih mencari jalan supaya suaminya dapat memaafkan perbuatannya suatu hari nanti.

“Assalamualaikum semua, nama aku Mawar. Baru bekerja dalam bidang pendidikan selama dua tahun, belum sah dalam perkhidmatan. Aku sudahpun berkahwin selama hampir tujuh tahun tetapi belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata sendiri. Masalah aku bermula selepas ditugaskan di sebuah sekolah.

“Di sana aku mengenali seorang rakan sekerja lelaki yang dipanggil En Stew (bukan nama sebenar). Dia senior, suami orang dan sudah memiliki anak-anak. Perwatakan dia sangat menarik hati aku. Lembut tutur katanya, sopan malah rupa parasnya juga. menarik. Pendek kata, peribadinya sangat membuatkan aku jatuh suka.

“Perasaan itu ada pada kali pertama aku jejakkan kaki ke situ. Jauh berbeza dengan suami aku sendiri. Panas baran, mudah marah dan melenting walaupun ada masalah kecil. Sejujurnya, aku kurang kasih sayang daripada suami. Dengan keluarga sendiri juga masih dalam proses untuk rapat kerana pernah ‘dibuang’ mereka.

“Jadinya aku sangat dahagakan kasih sayang. Aku selalu perhatikan En Stew. Gerak geri dia dan caranya bertutur, semuanya sangatlah menyenangkan. Aku juga dapat tahu dia adalah seorang ayah yang rapat dan baik dengan anak-anaknya. Biasanya, kami hanya berhubung soal kerja kerana berada di bawah skop tugas yang sama.

“Tetapi aku selalu muat naik ‘status’ gambar-gambar dan aktiviti seharian di aplikasi Whatsapp. Suatu hari, En Stew memberikan komen kepada salah status itu dan mula dari situlah kami mula berhubung serta berkenalan dengan lebih mendalam. Jujur, aku memang menaruh hati meski sedar dia suami orang. Aku pula isteri orang.

“Selepas dua minggu berbalas pesanan, kami saling meluahkan perasaan suka. Hati aku berbunga-bunga setiap kali mesej dengan En Stew. Pada masa yang sama, aku akan padam semua mesej dia supaya suami tidak syak apa-apa. Begitu juga dengan En Stew. Isterinya juga bekerja dalam bidang yang sama dengan kami.

“Aku tahu En Stew sayangkan isteri dan keluarganya. Tetapi aku terlalu mencintai dia hingga menjadi bodoh dan meneruskan hubungan kami secara diam-diam. Satu hari, aku masuk ke bilik En Stew untuk bekerja dengan alasan mahu dia tunjuk ajar dalam menyiapkan dokumen. Aku mengakui memang ini kesalahan diri sendiri.

“Aku masuk juga walaupun sedar En Stew berseorangan ketika itu. Kami bersembang seketika dan aku meluahkan rasa sedih. Kerana kami akan berpisah seketika selepas ini atas urusan kerja. Jadi suami orang ini mula memujuk dengan memegang tangan aku dan kami berpelukan. Memang salah tetapi aku teruskan sebab sayang.

“Keesokannya, aku masuk lagi ke bilik itu dan kami mengulangi perkara sama. Hal ini berlaku selama tiga hari. Pada hari ketiga, aku membuka tudung dengan alasan ingin betulkan. Itulah kali pertama En Stew lihat aurat rambutku. Tetapi kami tidak sampai ke tahap zina walaupun aku rasa perkara itu tidak mustahil boleh berlaku.

“Kemudian, kami tidak berjumpa selama tiga minggu. Aku selalu curi-curi mengambil gambar En Stew. Tetapi padam semulalah kerana bimbang suami aku syak. Selepas hampir dua bulan kami berhubungan, perkara ini kantoi dengan isteri En Stew sebab dia terbaca mesej kami. Umur isterinya beza tiga tahun dengan aku.

“Sebaik sahaja dapat tahu, isteri En Stew terus menghubungi ketua jabatan aku. Dia minta untuk berjumpa aku di depan ketua jabatan. Pn Acacia bertudung labuh, manis orangnya dan tengah mengandung dua bulan. Kali pertama aku berjumpa Pn Acacia, dia bertanyakan kepada aku kenapa berhubungan dengan suaminya.

“Di hadapan ketua jabatan, Pn Acacia mengatakan dia telah mengalami pendarahan kerana sangat tertekan akibat dari perbuatan kami. Aku rasa cemas dan menangis di depan Pn Acacia. Aku memohon ampun, tetapi Pn Acacia cakap dia takkan maafkan kami termasuklah suaminya. Pn Acacia juga sempat tarbiah aku.

“Katanya di dalam Islam, seorang wanita diangkat tinggi martabatnya. Tetapi kenapa aku sanggup rendahkan diri hanya kerana seorang lelaki. Aku terdiamlah dan hanya menangis. Kemudian En Stew masuk dalam bilik tersebut sebelum duduk di sebelah isterinya. En Stew cakap dia ingin berhenti daripada hubungan ini.

“En Stew mahu bertaubat dan meminta aku melakukan perkara sama kerana semua ini adalah dosa besar. Aku hanya mengangguk lemah. Tetapi Pn Acacia malah minta suaminya memilih antara dia atau aku bersaksikan ketua jabatan kami. Jadi En. Stew terus memeluk Pn Acacia dan menyatakan dia hanya akan memilih isterinya.

“Aku menangis memohon ampun dari Pn Acacia dan merayu agar dia tidak ceritakan perkara ini kepada suami aku. Selepas peristiwa itu, En. Stew terus berhenti hubungi aku. Tetapi aku tahu, rumah tangga mereka sedang bergolak. Seminggu kemudian, Pn Acacia menghantar mesej meminta aku ceritakan perkara sebenar.

“Aku terus mesej En. Stew dan minta dia menipu Pn Acacia dengan menyatakan kami hanya ada perasaan suka dan tidak pernah lebih dari itu. Tetapi En. Stew memarahi aku. Katanya, dia tak akan menipu isterinya lagi dan meminta supaya aku berhenti menghubunginya. Dia ingin selamatkan rumahtangganya. Aku kecewa. 

“Keresahan aku teruk hingga menyebabkan kemurungan. Aku terpaksa mengambil ubat penenang. Bimbang sekiranya suami aku tahu. Bermula daripada kejadian itu, satu persatu musibah aku alami. Aku teringatkan ayat dilontarkan Pn Acacia yang doa seorang ibu mengandung dan teraniaya ini, memang tiada hijabnya.

“Aku yakin yang diri ini tengah menghadap kifarah dari Allah. Walaupun suami aku tak tahu, tetapi hati ini tetap tidak pernah tenang. Aku juga telah ditukarkan tempat kerja sejurus kejadian itu. Di tempat kerja baharu pula aku sangat tertekan kerana merasa seakan dipandang serong ekoran ditukarkan walau baru bekerja dua tahun.

“Sekarang kejadian itu sudah berlalu selama hampir 5 bulan, tetapi Pn Acacia masih belum maafkan aku. Dia hanya menerima suaminya semula hanya disebabkan anak mereka sahaja. Aku tahu, langsung tiada lagi rasa cinta Pn Acacia terhadap suami dia. Pn Acacia juga menyalahkan aku kerana menghantar gambar tidak bertudung.

“Katanya sebab En. Stew tidak pernah minta gambar itu daripada aku. Persoalannya, apa yang perlu aku lakukan untuk memperoleh kemaafan Pn Acacia dan dari suami sendiri. Aku bimbang diceraikan jika suami tahu. Rasanya aku juga layak dimaafkan kerana sudah menerima kifarah dari Tuhan.” Soal Mawar Berduri (Bukan nama sebenar) menerusi sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Abang ipar aku ni mengharap gaji kakak aku je, bila dia tak ada duit, akulah jadi mangsa kena hulur”