Malaysia Dateline

Walau sidang ditangguh, MP tetap akan berkumpul di Parlimen pagi esok

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, wakil rakyat blok pembangkang tetap akan berkumpul di Dewan Rakyat esok walaupun Mesyuarat Khas sudah ditangguhkan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, keputusan itu muktamad selepas kerajaan dilihat menggunakan pelbagai helah untuk menangguhkan sidang Parlimen.

“Apapun yang berlaku, kita akan pergi ke Parlimen beramai-ramai jam 9.30 pagi esok.

“Kami akan cari mana-mana kawasan di Parlimen. Harap tidak tutup pagar. Kami masih Ahli Parlimen yang sah,” tegasnya dalam bual bicara menerusi slot Studio 137 sebentar tadi.

Shamsul turut menegaskan tiada halangan untuk sidang Dewan Rakyat diteruskan memandangkan kebanyakan Ahli Parlimen sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

“Kita mahu Parlimen terus bersidang. Jangan ada helah. Ini tunjuk perasaan kami sebagai wakil rakyat.

“Perdana Menteri menggunakan pelbagai alasan termasuk Covid-19,” tegasnya lagi.

Menjawab soalan kemungkinan kehadiran Ahli Parlimen esok menunjukkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baharu sekali gus kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN), beliau berkata, esoknya sememangnya detik amat penting.

“Esok penting untuk kita zahirkan solidariti menolak Mahiaddin Yasin sebagai Perdana Menteri.

“InsyaAllah, kita akan saksikan esok mereka (Ahli Parlimen) yang bersama dengan kita. Dalam blok pembangkang, kita sudah bermuafakat,” katanya.

Sehubungan itu, Shamsul menyeru kepada Ahli Parlimen lain untuk membuat ketetapan memandangkan negara ini sudah hilang haluan dan memerlukan kepimpinan yang baharu.

“Kita perlukan ‘kapten’ (Perdana Menteri) baharu dan pasukan (kerajaan) yang baharu. Kita menggunakan Parlimen untuk tujuan tersebut,” jelasnya lagi dalam forum bertajuk, “Langgar Perlembagaan, Tangguh Parlimen, Kerajaan PN Makin Terdesak?” itu.

Seorang lagi panel forum selama 1 jam 16 minit itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari yang juga Pakar Perlembagaan.

Semalam, notis dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat memaklumkan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 2 Ogos ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Penangguhan persidangan berkenaan dikatakan selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkaitan penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19, KKM berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko berlakunya penularan jangkitan itu.

Kelmarin, Dr Noor Hisham dalam kenyataan berkata 11 kes positif Covid-19 dikesan di Parlimen ketika berlangsungnya persidangan berkenaan, dengan 10 kes positif dikesan melalui Kit Ujian Rapid Antigen (RTK Ag) menggunakan air liur, manakala satu lagi menerusi ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR).

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 itu dijadual berlangsung selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos bagi Dewan Rakyat, manakala bagi Dewan Negara pula ditetapkan selama tiga hari mulai 3 Ogos.