Malaysia Dateline

Walau sudah jadi kerajaan, Wan Saiful masih fokus DAP

Rata-rata warga maya mengecam Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang berterusan menyerang DAP berhubung isu penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh penganut Kristian di negara ini.

Pengerusi Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu mengulangi pendirian bahawa DAP tidak sensitif dengan pandangan majoriti orang Melayu Islam.

“Ini satu lagi buktinya. Sebelum ini, YB Lim Guan Eng memberi analogi yang tidak betul mengenai konsep murtad.

“Hari ini YB Teresa Kok pula merayakan keputusan mahkamah mengenai kalimah Allah,” katanya berkongsikan tangkap layar hantaran wakil rakyat DAP, Teresa Kok di Facebook.

Ahli Parlimen Seputeh itu dilihat gembira dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang membenarkan penganut Kristian menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan pendidikan keagamaan mereka.

Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) itu berkata, komen Teresa tersebut langsung tidak membantu mewujudkan perpaduan dalam negara majmuk seperti Malaysia.

“Ia menyentuh sensitiviti dan menimbulkan prasangka yang berpanjangan.

“Saya tahu ada beberapa pemimpin DAP gembira. Tapi simpanlah sedikit dan tak perlulah merayakan macam ini.

“Dengan sikap DAP yang macam ini, ada sesiapa yang masih mahu wujudkan penjajaran baru untuk bawa DAP balik ke Putrajaya?” sinis ahli seumur hidup Bersatu sejak Mac 2018 itu lagi.

Terdahulu, Teresa dalam reaksi ringkasnya berhubung keputusan mahkamah itu menulis, “Our prayer answered” diikuti emoji berganding tangan dan senyum.