Malaysia Dateline

Walau tiada DAP dalam kerajaan, PN ham’Pas’ bela Melayu Islam

Mengecam atau mengutuk sesuatu perbuatan buruk oleh pihak tertentu, seperti kezaliman Yahudi Zionis Israel terhadap rakyat Palestin (walaupun sudah kedengaran klise) memang wajar.

Ia sebagai tanda membenci, dan Islam membenarkannya jika cuma itu sahaja yang mampu dilakukan – dengan hati.

Walau bagaimanapun, tidak patut juga kalau hanya sedemikian yang mampu/ingin dilakukan, padahal kuasa untuk menghalang dan menghapuskan ada di tangan.

Sia-sia berkuasa, tetapi tidak berdaya dan enggan menggunakannya, malah lebih malang kalau sekadar mengutuk atau mengecam.

Saya teringat sebahagian daripada isi ucapan Tan Sri Annuar Musa semasa merasmikan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia ke-2 di Rumah PENA pada 10 April lalu.

Annuar menyelar pihak pemaju yang menyisihkan penggunaan bahasa Melayu dalam pemberian nama premis perumahan dan perniagaan di Kuala Lumpur.

Beliau kesal seolah-olah lupa jawatan Menteri Wilayah Persekutuan yang disandangnya cukup kuat untuk menghalang perkara tersebut.

Demikianlah juga dengan isu klip video iklan judi menerusi lagu Hari Raya yang tular di media sosial baru-baru ini.

Kerajaan PN sebagai pentadbir Malaysia, negara yang majoriti penduduknya beragama Islam ada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), dan Kementerian Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Parti yang mendakwa memartabatkan Islam, iaitu Pas juga berada dalam Kerajaan PN. Namun demikian, apa yang terjadi seperti Pas tiada dalam kerajaan.

Pas kini menjadi kerajaan (dahulu berapi-api semasa menjadi pembangkang), dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) darinya, iaitu Ahmad Marzuk Shaary.

Walau bagaimanapun, Marzuk hanya mampu mengecam dan mengutuk. Dimaklumi mengkritik perbuatan jelik memang wajar. Siapa pun boleh mengutuk.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana kecaman jika hal ini berlaku semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ada DAP mentadbir negara. Mungkin tujuh hari tujuh malam tiada kesudahan.

Mengapa KKMM yang ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak dapat menghalang penerbitan video terbabit?

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai ‘menteri agama’ tidak mengeluarkan kenyataan, sebaliknya Marzuk yang berbuat sedemikian.

Justeru, bolehkah dikatakan ini ‘kifarah’ yang diterima oleh pentadbiran Tan Sri Datuk Muhyiddin Yassin akibat pengkhianatan?

Benarkah oleh sebab ramai anggota Kabinet kerajaan PN adalah pengkhianat/Menteri ‘Langkah Sheraton’, semua yang dilakukan tidak kena?

Menurut Adun Templer, Mohd Sany Hamzan, kemunculan dua klip video iklan judi Raya yang tersebar ketika pemerintahan kerajaan PN memang mengejutkan.

Ini kerana, tambah Ketua Biro Mobilisasi AMANAH itu, ketika kerajaan PN sering mencanangkan mereka mahu membela Islam di negara ini, ada video judi bertemakan Hari Raya yang tersebar pada Ramadan, dan berani pula mengajak penganut Islam untuk berjudi.

Katanya, tiada DAP dalam kerajaan PN. Yang ada adalah Pas, tetapi mengapa ham’Pas’ yang terjadi?

Sany menganggap isu ini amat membimbangkan dan mendukacitakan orang Melayu Islam di negara kita.

Oleh sebab mentadbir negara, tambah Sany, kerajaan PN menyatakan mereka kerajaan Melayu Islam yang mahu menjaga orang Melayu, dan Islam.

Hanya melafazkan sahaja, sedangkan perbuatannya tiada seolah-olah peringatan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong agar jangan sesiapa mengatakan kerajaan Melayu Islam memang ditakuti!

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia juga hanya mengecam penerbitan video itu, dan menyerahkan kepada PDRM untuk menyiasat.

Selepas muncul pada 16 April, hari berikutnya muncul pula klip video kedua dengan matlamat sama – mengajak orang ramai atau lebih tepat umat Islam untuk berjudi.

Sany berkata sedemikian selepas mengiringi Naib Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi membuat laporan polis berhubung penularan dua video berkenaan pada 17 April.

Dalam laporan itu, Ahmad Zamri menyifatkan dua video itu bukan sahaja mencemarkan kesucian Ramadan serta biadab, malah melanggar peruntukan undang-undang negara, khususnya Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Zamri malah mengatakan video yang mempromosi judi secara terbuka itu juga boleh dianggap sebagai hasutan kepada orang awam, khususnya umat Islam untuk terlibat dalam perjudian dalam talian.

Menurut Zamri, video kedua syarikat judi itu juga dihasilkan dengan latar belakang Hari Raya, dan tular di media sosial.

Klip video lagu Hari Raya pertama oleh sebuah syarikat judi mengajak umat Islam berjudi pada Ramadan bagi memenuhi keperluan Aidilfitri.

Video berdurasi hampir tiga minit itu memaparkan pelakon lelaki berbaju Melayu, dan wanita berbaju kurung, dan ada yang bertudung dengan lagu berkisar sambutan Syawal.

Video kedua berdurasi 2.42 minit juga tampil dengan tema sama, iaitu suasana menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Justeru, saya bersetuju dengan Sany bahawa rakyat sedang melihat bagaimana sebuah ‘kerajaan tebuk atap’ mahu membela orang Melayu dan Islam, tetapi gagal mengekang promosi judi.

Pada 16 April lalu juga, SKMM memaklumkan mereka telah berkomunikasi dengan penyedia platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan YouTube untuk memadamkan video pertama itu.

Walau bagaimanapun, Zamri mengatakan video itu masih lagi boleh diakses. SKMM, katanya, perlu mengambil tindakan segera kerana ini melibatkan sensitiviti kaum, dan agama.

Bukan hanya terhadap politik PH sahaja mereka perlu mengambil tindakan segera, tetapi ini isu yang besar yang wajar diatasi secepatnya untuk menyekat penularan video tersebut.

Dalam masa sama, ramai bersetuju dengan pandangan Bront Palarae menerusi Twitter ketika mempertikai tindakan PDRM menahan lapan individu yang merupakan kru video tersebut.

Warganet berpendapat mana-mana pihak yang terlibat dengan video tersebut memang perlu dikenakan tindakan.

Pelakon Bunohan itu berpendapat punca sebenar tersebarnya iklan judi Raya sehingga tular di media sosial adalah pemilik judi dalam talian, dan pihak yang membayar upah untuk pembikinan klip video tersebut.

Dalam laporan daripada Bernama itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Seri Panglima Acryl Sani Abdullah Sani berkata lapan individu yang ditahan itu dipercayai pelakon, ejen artis, juruvideo, jurukamera, produser, dan pengarah video berkenaan.

Menurut Acryl, semua mereka mengaku diupah bagi pembikinan video itu yang dibuat di Ampang dan Hulu Langat, Selangor pada 13 Mac lalu.

Tegas Acryl, usaha mengesan dalang sebenar pembikinan video itu sedang berjalan. Namun begitu, biasanya si dalang tidak dapat dihalang, dan apabila dicari, entah ke mana menghilang.

*RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.