Walau tiada kerusi, AMANAH Wilayah Persekutuan terus berbakti

Zulkarnain (kanan) menerima sumbangan kerusi roda daripada AMANAH Batu diketuai Cikgu Ishak Surin.

AMANAH Wilayah Persekutuan tetap meneruskan kerja-kerja di akar umbi termasuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat di ibu kota yang memerlukan walaupun tidak memperoleh sebarang kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengarah Komunikasinya, Tarmizi Mohd Jam berkata, prinsip Rahmatan Lil Alamin yang menjadi landasan perjuangan parti Islam itu bukan hanya menanti untuk diterjemah apabila diberi kerusi untuk bertanding pilihan raya semata-mata.

“Kalau AMANAH Wilayah Persekutuan terus mempersoal kerana tidak dapat kerusi, itu sudah bercanggah dengan nilai Islam Rahmatan Lil Alamin yang kita perjuangkan.

“Tiada kerusi atau kalah bertanding pun prinsip itu mesti tetap berjalan. Takkan nak tunggu ada kerusi, baru nak turun jumpa masyarakat?

“Bahkan, turun padang seperti ini pun sebenarnya sebahagian daripada medan dakwah. AMANAH juga menghormati semangat berpasukan dalam Pakatan Harapan,” ujar Naib Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan yang juga Timbalan Ketua AMANAH Batu itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan kerusi roda kepada keluarga Zulkarnain Abdul Aziz, 58, di Flat Seri Perak, Bandar Baru Sentul semalam.

Sementara itu, Ketua AMANAH Batu, Ishak Surin berkata, sumbangan kerusi roda bagi kegunaan isteri Zulkarnain yang tidak berupaya berjalan akibat diabetes diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka sekeluarga.

“Setiap kesusahan hidup yang rakyat alami sebenarnya turut sama dirasai oleh AMANAH.

“Itulah sikap peduli yang kita amalkan selama ini ibarat yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing,” katanya ketika berucap menyampaikan sumbangan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, AMANAH Batu juga menerima tiga lagi penyertaan untuk menjadi ahli parti tersebut dari Cawangan Seri Perak Kosmo semalam.

“Menjelang PRU-14 yang semakin panas, AMANAH banyak menerima keahlian baru sebagai sokongan orang ramai terhadap PH,” kata Tarmizi lagi.

Turut sama hadir Naib Ketua AMANAH Batu, Ustaz Marzuki Zakaria dan Pengerusi Biro Kebajikan AMANAH Batu merangkap Ketua AMANAH Seri Perak Kosmo, Haji Abdul Kadir Tauhid.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0