Malaysia Dateline

Walau tidak bertanding, Pas tetap lancar 2,000 jentera pilihan raya Sabah esok

Pas tetap akan melancarkan jenteranya esok bagi membantu calon Perikatan Nasional (PN) berkempen walaupun tidak bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dia juga akan ke Sabah esok untuk melancarkan jentera parti itu.

“Saya akan pergi ke Sabah pada hari esok untuk melancarkan jentera Pas bagi membantu rakan-rakan PN bagi memastikan kerusi yang ditandingi dimenangi.

“Petang esok saya akan ke Kota Kinabalu (lancar jentera Pas) ini komiten Pas walaupun Pas tak bertanding, Pas tetap lancar jentera nak pastikan bahawa kita menang,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air itu memberitahu purata 2,000 tenaga Pas akan digerakkan bagi membantu PN.

“Kita ada 20 jentera bahagian di Sabah dan purata dalam 2,000 jentera tenaga parti.

“Jadi kita juga akan membawa tambahan jentera dari Semenanjung untuk turun di Sabah,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi.

Pendirian sama turut disuarakan Pengarah Pilihan Raya Pas, Muhammad Sanusi Md Nor yang akan menghantar kumpulan kedua jentera dalam tempoh masa terdekat.

Menurut Sanusi, Pas akan membantu calon PN dengan sudah mengarahkan jentera bertugas seperti biasa seolah-olah Pas bertanding.

Untuk rekod, PN terdiri daripada gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN), Pas, STAR, Parti Maju Sabah (SAPP), parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Sebanyak 73 kerusi DUN Sabah akan dipertanding dalam PRN kali ini, berbanding 60 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14, selepas Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah, Julai lalu.