Malaysia Dateline

Walau tidak dicalonkan, Hanipa turut berkempen untuk calon Pakatan Harapan di Sepang

Walaupun tidak dicalonkan lagi untuk bertanding dalam PRU-15 ini, bekas Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin tetap turun untuk berkempen untuk calon Pakatan Harapan.

“Saya sudah tiga hari turun ke Sepang untuk membantu kempen dan bertemu dengan jentera kempen Pakatan Harapan.

“Saya juga bagi sedikit belanja dan peralatan kempen untuk mereka,” kata Hanipa kepada Malaysia Dateline.

Hanipa, ahli Parlimen Sepang untuk dua penggal dari AMANAH itu, tidak dicalonkan dalam PRU-15.

Sebaliknya, kerusi itu ditandingi oleh Ketua Wanita Pakatan Harapan yang juga Ketua Angkatan Wanita AMANAH, Aiman Athirah.

Menurut Hanipa, peguam yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) itu, beliau berharap calon Pakatan Harapan akan menang dalam pilihan raya ini.

Bekas Ahli Parlimen Sepang turun berjumpa penduduk Sepang bagi merayu mereka terus mengundi Pakatan Harapan.

“Walaupun tidak bertanding, saya tetap turun ke Parlimen Sepang bagi bertemu dengan para jentera PH dan pengundi di Sepang bagi merayu undi.

“Saya harap calon PH menang dan jentera yang pernah memberikan khidmat kepada saya sebelum ini bertugas bersungguh-sungguh untuk memenangkan calon kita,” kata beliau.

BACA JUGA Malaysia mesti kembali dikuasai PH, jangan beri PN-BN sedikit pun peluang ulangi pengkhianatan