Malaysia Dateline

Walau tidak fasih bahasa Melayu, Tommy Thomas dilantik sebagai ahli lembaga pengelola DBP

Kedudukan Tommy Thomas sebagai peguam tertinggi negara selain mempunyai kepakaran dalam bidang undang-udang merupakan ciri yang melayakannya dilantik sebagai ahli lembaga pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Peguam Negara antara enam pegawai kerajaan yang dikhaskan tempat mereka dalam lembaga terdiri daripada 17 orang ahli itu, kata Pengerusi lembaga pengelola DBP, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan pelantikan Tommy yang mendapat dipersoal banyak pihak sebelum ini memandangkan pengamal undang-undang berkenaan diketahui tidak fasih berbahasa Melayu.

“Turut dilantik termasuk Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang dibuat kerana kepakaran beliau dalam bidang agama,” katanya selepas ‘Forum Bahasa Jiwa Bangsa’ di Dewan Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur, semalam.

Minggu lalu, foto ahli lembaga pengelola DBP termasuk Tommy tular selepas pengguna media sosial mempersoalkan pelantikan beliau itu.

Turut dilantik Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dan Ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah.

Setiap ahli memegang jawatan untuk tempoh tiga tahun dan boleh dilantik semula.

Lembaga Pengelola DBP ditubuhkan di bawah Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 yang berfungsi untuk membentuk dan melaksanakan dasar bagi mencapai matlamat penubuhan DBP.

Lembaga itu terdiri daripada lima orang ahli dilantik atas jawatan, seorang ahli dilantik atas perkenan Majlis Raja-Raja sebagai wakil Raja-Raja dan 11 orang ahli termasuk Pengerusi dilantik oleh Menteri Pendidikan.

Pada 4 Julai lalu, Tommy menerima kritikan hebat selepas dilapor memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk meneruskan prosiding kes pecah amanah serta salah guna kuasa terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam bahasa Inggeris dan permohonannya itu dibenarkan.

Tommy kemudiannya didesak oleh penyokong Najib untuk menggunakan bahasa Melayu dalam sidang akhbar di lobi kompleks mahkamah itu sehingga memaksa beliau dan pasukan pendakwaannya membatalkan sidang akhbar tersebut.