Malaysia Dateline

Walau Umno-Bersatu bermusuh, Pas pilih berdamai

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, partinya bersikap untuk berdamai dengan Umno dan Bersatu walaupun kedua-dua parti Melayu itu tidak saling bekerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Kelantan itu berkata, keputusan berkenaan selaras dengan pendirian Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kerjasama tersebut lebih membawa manfaat kepada semua.

“Kita ikut pendirian yang ditetapkan presiden, kita tetap lakukan usaha damai sebab berdamai sangat penting untuk kebaikan ummah dan perpaduan.

“Hari ini kita masih terkesan dengan pandemik Covid-19, kita berilah keutamaan selesaikan masalah ini kerana yang lebih penting adalah dapat pulihkan semula ekonomi negara dan kesihatan rakyat,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Ahmad Yakob

Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan itu mengulas keputusan Umno yang enggan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 dan meneruskan sokongan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga pembubaran Parlimen.

Sebelum ini, Umno mengambil keputusan muktamad menolak kerjasama dengan Bersatu dan pembentukan gabungan politik bersama PN selepas PRU-15.

Walau bagaimanapun, menteri-menteri dan timbalan menteri Umno kekal dalam kerajaan PN selepas bertemu dan mendapat ‘nasihat’ Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Untuk rekod, seramai 14 pemimpin Umno kini bergelar Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kabinet Muhyiddin.

Sementara itu, Pas pula dengan 18 ahli parlimen kembali dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan selepas 43 tahun menjadi pembangkang.

Tiga pemimpin Pas sebagai menteri dalam Kabinet Muhyiddin iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar), Datuk Takiyuddin Hassan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menjadi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.