Malaysia Dateline

Walaupun Hadi tolak Umno, Majlis Syura mahu bincang pada 18 Disember

Walaupun Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang bertegas Pas tidak akan bersama Umno selepas parti itu menolak Bersatu, pihak yang menyokong untuk bersama Umno dalam Pas terus berusaha untuk memastikan Pas bersama Umno.

Sehubungan itu, Majlis Syura Ulama Pas akan mengadakan mesyuarat pada 18 Disember ini bagi membincangkan cara memperkasakan gabungan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Perkara ini dinyatakan oleh Setiausaha Majlis Syura, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

“Agenda utama ialah menetapkan misi PRU15 setelah mana Pas berkerajaan di peringkat persekutuan bersama dengan Umno dan Bersatu serta parti lain.

“Mesyuarat juga akan berbincang untuk memperkasakan lagi MN dan PN bagi menghadapi PRU15,” kat Khairuddin kepada Free Malaysia Today.

Hubungan Pas dan Umno dalam MN menimbulkan pelbagai spekulasi selepas Pas memutuskan untuk bertanding menggunakan lambang PN pada PRN Melaka lalu.

Selain itu, Presiden Pas Abdul Hadi Awang membayangkan parti itu akan menolak MN, jika Umno terus menolak penyertaan Bersatu dalam gabungan itu yang ditubuhkan pada 2019.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Syura, Datuk Hashim Jasin juga berkata, Pas masih perlu bekerjasama dengan Umno.