Malaysia Dateline

Walaupun MB buat tidak kisah, MP Pas turun bantu pengayuh beca K Terengganu

Selepas kisah penderitaan penarik beca di Kuala Terengganu dibangkitkan oleh Malaysia Dateline, bantuan mula datang kepada mereka.

Kalau baru-baru ini bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif yang menghantar bantuan, semalam Ahli Parlimen Kuala Terengganu pula menghantar bantuan walaupun MB Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar buat tidak tahu sahaja tentang mereka.

Datuk Amzad Hashim mengaku, pengayuh beca atau teksi di kalangan orang Terengganu ini antara pihak yang paling menderita apabila PKP penuh dilaksanakan.

“Sesungguhnya, warga pengayuh beca ini antara yang teruk terkesan punca pendapatan sara hidup keluarganya sejak lebih setahun lalu akibat pandemik Covid-19 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) 3.0 dan ‘Total Lockdown’ dari 1 hingga 14 Jun 2021,” tulis Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu.

Sumbangan itu disampaikan oleh wakil Amzad, Pegawai Perhubungan dan Hal Ehwal Kemasyarakatan Parlimen Kuala Terengganu, Encik Zulkifli Wahab kepada 18 pengayuh beca di Kuala Terengganu.

Sebelum ini, Malaysia Dateline melaporkan bagaimana kesusahan pengayuh beca ketika negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.

Mereka juga mengadu, elaun RM200 sebulan yang diberikan kepada mereka oleh kerajaan BN sebelum ini telah ditarik balik oleh kerajaan Pas pimpinan Samsuri.