Malaysia Dateline

Walaupun rakyat tidak suka, rentas negeri tetap tidak dibenarkan

Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju dengan penegasan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan PDRM bahawa rentas negeri kekal tidak dibenarkan.

Datuk Seri Ismail Sabri dalam sidang medianya mengakui keputusan ini memang tidak disukai rakyat tetapi kerajaan terpaksa tidak membenarkan rentas negeri bagi menyekat penularan COVID-19.

Katanya, data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) penularan COVID-19 semakin meningkat akibat daripada pergerakan rentas negeri.

Sabri berkata, sebanyak 38 kluster rentas negeri di mana melibatkan 5,471 kes bahkan pada bulan April sahaja sebanyak 7 kluster rentas negeri membabitkan 423 kes yang direkodkan.

“Misalnya kluster Pasai telah merebak di beberapa kawasan di Sarawak ketika dibenarkan balik kampung pada Krismas menyebabkan terdapat 2,693 kes telah direkodkan.

“Antara aktiviti yang dilakukan sewaktu balik kampung, hadir majis sosial yang mengundang risiko kepada warga emas dan kanak-kanak,” katanya.

Begitu juga di Kelantan katanya tindakan membenarkan rentas negeri menyebabkan negeri berkenaan dari zon hijau kini bertukar dan kekal menjadi zon merah.

“10 kluster telah direkodkan sehinggakan menjangkiti beberapa generasi. Pertambahan ini menyebabkan  kekurangan katil dan wad ICU,” katanya.

Semalam Kelantan pecah rekod menjadi negeri tertinggi kes harian positif COVID-19, di mana seluruh daerah telah bertukar menjadi zon merah.