Wan Azizah bawa salam Anwar mahu rakyat menangkan calon PH

Wan Azizah bawa salam Anwar mahu rakyat menangkan calon PH

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat khususnya di Sungai Besar memilih calon Pakatan Harapan yang diwakili Parti Amanah Negara (Amanah) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berangsung 18 Jun ini.

Seruan dari penjara itu disampaikan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail ketika berucap di Majlis Pengisytiharan Calon Pakatan Harapan bagi PRK Sungai Besar di Dewan Sri Sekinchan malam tadi.

“Saya bawa salam dari penjara. Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi salam kepada kita semua supaya teruskan perjuangan dan pilihlah calon Pakatan Harapan. InsyaAllah membawa kebaikan pada semua.

“Jangan salah pilih. Setiap undi penting dan pilihlah calon Pakatan Harapan daripada Parti Amanah Negara,” katanya.

Sementara itu, Presiden Amanah melahirkan rasa terharu dengan sokongan Azizah dan Anwar terhadap Amanah untuk mewakili Pakatan Harapan pada PRK ini.

“Saya amat terharu Datuk Seri Wan Azizah bersama kita. Beliau pemimpin gigih, srikandi yang kita anggap sebagai ibu kepada kita dan ibu kepada rakyat jelata. Dengan kegigihan beliau terus memimpin PKR dn Pakatan Harapan.

“Saya juga menerima salam daripada Anwar. Beliau sendiri mahu supaya presiden PKR bersama kita untuk isytihar calon Pakatan Harapan,” kata Mohamad.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Sungai Besar Azhar Abdul Shukur diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan bagi PRK Sungai Besar.

Turut hadir pada majlis itu, Penasihat Umum Amanah Ustaz Ahmad Awang, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Setiausaha PKR Rafizi Ramli serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan Ng Swee Lim.

TAGS