Wan Azizah dan calon Amanah disambut meriah di bazar Ramadan

Wan Azizah dan calon Amanah disambut meriah di bazar Ramadan

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang turun berkempen bagi calon Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Ahmad Termizi Ramli di bazar Ramadan Arena Kuala Kangsar petang semalam mendapat sambutan hangat daripada pengunjung dan peniaga di bazar tersebut.

Sambutan terhadap beliau dan rombongan amat terasa walaupun dalam masa yang sama berlangsung program Kerajaan Barisan Nasional (BN) di tempat yang sama.

Beliau mengagihkan sebanyak 300 bekas bubur lambuk kepada pengunjung bazar sebelum berjalan dari gerai ke gerai dan beramah mesra dengan pengunjung dan peniaga.

Rata-rata pengunjung dan peniaga kelihatan teruja apabila melihat kelibat beliau dan masing-masing bersedia dengan telefon bimbit di tangan.

Ada yang merakam video dan ada yang mengambil gambar dari jauh dan tidak ketinggalan mereka yang tidak mahu melepaskan peluang untuk bergambar dengan beliau. Malah tidak kurang juga mereka yang ‘berselfie’.

Wan Azizah dan Ahmad Termizi di sambut meriah di Kuala Kangsar. Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari SallehWan Azizah mengambil peluang memperkenalkan calon Amanah dan menyeru pengunjung dan peniaga yang ditemui agar memilih Dr Termizi yang mewakili Pakatan Harapan pada 18 Jun ini.

Tidak lama selepas itu, suasana menjadi semakin meriah dnegan kehadiran Dr Termizi sendiri untuk sama-sama berkempen dan memperkenalkan diri.

Sikap ramah kedua-duanya membuatkan orang ramai tidak segan untuk bertegur sapa malah respons yang ditunjukkan sangat positif.

Tiada peniaga yang menunjukkan muka masam apabila dihampiri Wan Azizah dan Dr Termizi walaupun sedang sibuk melayan pelanggan.

Pengunjung bazar juga tidak menunjukkan rasa tidak selesa apabila disapa malah mereka terlebih dahulu menghulurkan tangan untuk bersalam dan mengambil gambar.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Wan Azizah berkata, rakyat Kuala Kangsar perlu memilih calon Amanah mewakili Pakatan Harapan agar pakatan tersebut menjadi pembangkang yang kuat di parlimen.

Wan Azizah menyampaikan buah tangan kepada pengunjung bazar RamadanBeliau juga menyeru rakyat Kuala Kangsar memilih anak tempatan yang terbukti sudah berjaya dan mempunyai iltizam yang tinggi untuk berbakti kepada masyarakat kuhususnya di Kuala Kangsar.

“Pemilihan ini untuk suara rakyat. Pilihlah calon kita yang nombor empat. Anak Malaysia yang merupakan bekas profesor dari Kuala.

“Pilihah calon terbaik daripada anak tempatan sendiri untuk membawa suara anda ke parlimen,” katanya.

Wan Azizah selepas itu menghadiri majlis berbuka puasa dan memberi sumbangan kepada penduduk Kampung Bendang Kering, Sayong di Masjid Al Rahmah.

Dr Termizi turut berbuka puasa bersama penduduk kampung di masjid dan menunaikan solat maghrib berjemaah.

COMMENTS

Wordpress (0)