Malaysia Dateline

Wan Azizah harap pergeseran selesai segera, PKR tidak iktiraf kongres anjuran Azmin

Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap pergeseran antara kumpulan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kepemimpinan yang lain diselesaikan segera.

Wan Azizah berkata, hal tersebut amat perlu dilakukan sebelum bermulanya kongres sayap parti pada 5 Disember ini dan kemuncaknya, Kongres Nasional PKR 2019 pada hari keesokannya.

Kongres utama PKR bakal berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Melaka hingga 8 Disember dengan agenda utama diberi fokus adalah ucapan dasar Presiden.

Sehubungan itu, beliau menegaskan PKR tidak mengiktiraf mana-mana kongres lain dalam parti selain yang diadakan di MITC.

Jelasnya, parti tidak pernah bersetuju untuk mengadakan kongres lain pada hari berkenaan.

“Pada kami memang parti hanya ada satu kongres. Itu saja yang rasmi,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Khatan Perdana Parlimen Pandan di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Teratai, di Ampang Selangor hari ini.

Beliau ditanya laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa kumpulan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merancang mengadakan kongres berasingan pada hari sama Kongres Nasional PKR berlangsung nanti.

Laporan itu menyebut, walaupun kongres itu diakui mungkin tidak diiktiraf parti, namun ia diadakan bagi menunjukkan kumpulan tersebut mempunyai sokongan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dan cabang dari seluruh negara.