Malaysia Dateline

Hannah Yeoh

Wan Azizah ingatkan kerajaan tidak lakukan gangguan politik terhadap Ahli Parlimen

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan kerajaan agar tidak melakukan intimidasi politik terhadap Ahli-Ahli Parlimen yang menjalankan tugas dalam menyuarakan isu rakyat.

Ia susulan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang dipanggil ke Bukit Aman selepas melontarkan persoalan tentang hala tuju Pelan Strategi Menangani Perkahwinan Bawah Umur yang diketepikan di bawah Timbalan Menteri, Siti Zailah Mohd Yusoff.

“Adakah salah bagi YB Hannah Yeoh, mantan Timbalan KPWKM menanyakan mengenai status dan kemajuan pelan tersebut kepada Siti Zailah selaku Timbalan Menteri KPWKM merangkap Ahli Parlimen Rantau Panjang.

“(Ini kerana) Kelantan juga salah sebuah negeri yang telah menolak usaha menaikkan had umur perkahwinan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 16 Januari lalu, KPWKM melancarkan Pelan Strategi Menangani Perkahwinan Bawah Umur dengan mengemukakan satu plan yang komprehensif.

Tujuh negeri iaitu Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan Kedah dan termasuk Kelantan telah menyatakan tidak bersetuju dengan draf membabitkan pindaan Akta Undang-Indang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) dengan menetapkan umur minimum perkahwinan wanita kepada 18 tahun.

Pada 9 Mac lalu, Hannah mempersoalkan apakah yang akan berlaku dengan rancangan di bawah kementerian terbabit untuk mengekang perkahwinan bawah umur, selepas Ahli Parlimen Pas dilantik sebagai Timbalan Menteri KPWKM.

Ketika itu, Yeoh membangkitkan perkara itu setelah Siti Zailah dikatakan mempunyai rekod mempertahan perkahwinan bawah umur.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid memberitahu Malaysiakini, Yeoh disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mior berkata, polis bercadang mengambil keterangan Yeoh pada 23 Jun ini selepas laporan dibuat oleh orang awam terhadap tweet berkenaan.