Wan Azizah kecam penahanan Rafizi, beratus aktivis bersolidariti

Wan Azizah kecam penahanan Rafizi, beratus aktivis bersolidariti

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengecam tindakan menahan Ahli Parimen Pandan, Rafizi Ramli semalam.

“PKR mengecam sekeras-kerasnya tangkapan Rafizi di bawah Akta Rahsia Rasmi dengan cara ala Gestapo ini,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Sementara itu beratus-ratus aktivis berkumpul berhampiran ibu pejabat polis Bukit Aman bagi menyatakan solidariti dengan Rafizi.

Mereka terdiri ahli-ahli parlimen, pemimpin-pemimpin parti politik dan aktivis NGO.

Berikut kenyataan penuh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)

PKR kecam pengangkapan Rafizi

Kita dikejutkan dengan penangkapan Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan merangkap Naib Presiden serta Setiausaha Agung KEADILAN di hadapan pintu keluar Parlimen petang tadi.

Saya difahamkan beliau ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi berkaitan sebuah dokumen yang berada di bawah akta tersebut.

PKR mengecam sekeras-kerasnya tangkapan Rafizi di bawah Akta Rahsia Rasmi dengan cara ala Gestapo ini, di mana Rafizi telah ditarik keluar dari kereta
beliau oleh sekumpulan sepuluh orang anggota polis seolah-olah Rafizi seorang penjenayah berat atau pembunuh yang cuba melarikan diri.

PKR percaya tangkapan ini berkemungkinan besar berkaitan dokumen yang ditunjuk  Rafizi di dalam satu sidang media beberapa hari lalu, yang berkaitan laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB yang bakal dibentang di Parlimen pada Khamis ini.

Setelah laporan akhir itu dibentang di Parlimen, dokumen tersebut tidak akan lagi diklasifikasi di bawah Akta Rahsia Rasmi. Oleh itu, tindakan menangkap Rafizi
dengan cara ini adalah keterlaluan.

Pendirian PKR mengenai Akta Rahsia Rasmi adalah konsisten dan jelas: PKR menentang penggunaan akta kuku besi ini untuk menakut-nakutkan dan mendiamkan musuh-musuh politik rejim UMNO-Barisan Nasional.

Tatkala negara dilanda pelbagai masalah integriti seperti urus tadbir 1MDB dan skandal “RM2.6 bilion”, ahli-ahli politik seperti Rafizi, yang cukup dikenali
rakyat sebagai seorang yang berani melawan kebobrokan dan salah guna kuasa pemerintah untuk selamatkan Malaysia, sepatutnya bukan ditangkap tetapi dirai
kerana bangkit mempertahan integriti demokrasi negara kita.

Oleh itu, PKR menggesa agar Rafizi Ramli dibebaskan pada kadar segera.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden PKR
5 April 2016

TAGS