Malaysia Dateline

Wan Azizah kekal TPM sehingga berlaku peralihan kepimpinan

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri sehingga berlaku peralihan kepemimpinan negara.

Demikian usul  yang dibawa Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam Kongres Nasional PKR ke-13 semalam ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir kongres berkenaan di Pusat Konvensyen Ideal (iDCC )semalam.

Usul berkenaan sebulat suara disepakati perwakilan di dalam dewan yang berdiri sebagai tanda bersetuju.

“Saya ingin angkat satu usul untuk kita sepakati bahawa Keadilan dalam kongres tahun ini mengangkat satu syor supaya Dr Wan Azizah kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri sehingga peralihan kepemimpinan negara berlaku pada satu masa yang akan ditetapkan kelak.

“Setuju atau tidak, jika setuju angkat tangan, berdiri dan laungkan setuju tanda sokongan bulat yang tidak berbelah bahagi, ” katanya.

Selain usul berkenaan, perwakilan turut bersetuju dengan satu lagi usul dibawa Saifuddin iaitu tiada lagi wakil rakyat dan EXCO parti berkecuali daripada membuat potongan gaji sebanyak 10 hingga 15 peratus untuk disalurkan kepada parti.

“Saya mahu syorkan, tahun ini jangan ada lagi (wakil rakyat dan EXCO) berkecuali tak bayar (potongan elaun).

“Jika culas ini masih berlaku, tahun depan kita pamerkan nama-nama mereka ini dalam buku penyata tahunan,” katanya yang kemudian mendapat laungan setuju tanda sokongan perwakilan.

Beliau berkata, pemotongan gaji itu dibuat bagi memastikan parti dapat bergerak dan membiayai pelbagai keperluannya setiap bulan.

“Kena ingat, kita ada pada kedudukan hari ini bukan kerana nama tapi kerana watikah parti Keadilan yang mendapat sokongan rakyat,” katanya, seperti dilapor BH online.