Wan Azizah kongsi kesedihan bersama ahli keluarga Allahyarham Dr Shaharuddin

Wan Azizah kongsi kesedihan bersama ahli keluarga Allahyarham Dr Shaharuddin

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berkongsi kesedihan atas pemergian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus semalam.

Beliau yang tiba pada kira-kira 9.05 minit pagi tadi di Masjid Jamiurrahmah Kampung Limau Manis, Kajang bagi menziarahi jenazah Allahyarham, menitipkan doa agar roh arwah dicucuri rahmat.

“Kita sedih kehilangan beliau yang juga Exco Selangor. Kita doakan roh diberi segala pengampunan dan mendapat reda Allah serta ditempatkan bersama orang beriman,” katanya ketika ditemui pemberita lapor Bernama.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersalam dengan salah seorang anggota keluarga ketika hadir menziarahi jenazah Allahyarham Dr Shaharuddin Baharuddin di Masjid Jamiurrahmah Kampung Limau Manis, Kajang hari ini.-Foto Bernama.

Calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil DunSungai Kandis Zawawi Ahmad Mughni yang turut ditemui di masjid sama menyifatkan Allahyarham seorang ilmuan dan aktivis yang sangat komited dengan tugas.

“Allahyarham juga seorang yang mempunyai wawasan yang jelas dalam membangunkan masyarakat negeri dengan budaya ilmu. Beliau juga seorang rakan yang baik, bagi saya pemergian beliau satu kehilangan besar bagi negeri Selangor,” katanya.

Allahyarham Shaharuddin meninggal dunia pada kira-kira 6.30 petang semalam di Hospital Putrajaya. Beliau meninggalkan isteri Adibah Ahmad, 57 tahun dan enam orang anak.

Terdahulu, jenazah dibawa dari kediamannya di Desa Pinggiran Putra untuk disembahyangkan di Masjid Jamiurrahmah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limau Manis, Kajang kira-kira pukul 10 pagi ini.

Ratusan kenalan dan waris hadir mengiringi perjalanan akhir Allahyarham dan antara yang turut menziarahi jenazahnya ialah Menteri Besar Selangor Amirudin Shaari, Menteri Kesihatan Datuk Dr Dzulkefly Ahmad, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Naib Presiden PKR, Tian Chua.

CATEGORIES