Wan Azizah kosongkan kerusi beri laluan Anwar kembali menjadi TPM, kata Ibrahim Ali

Wan Azizah kosongkan kerusi beri laluan Anwar kembali menjadi TPM, kata Ibrahim Ali

(dari kiri) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dicadangkan agar memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen Pandan.

Ini bertujuan memberi laluan mudah kepada Anwar untuk kembali menjadi Timbalan Perdana Menteri untuk bergandingan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Gandingan Dr Mahathir dan Anwar sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri pernah berlaku sebelum krisis kepimpinan dua pemimpin utama Umno itu pada 1997 yang membawa perpecahan Umno sekali lagi dengan rentetaan tertubuhnya Parti Keadilan Nasional (KeADILan).

Sebelum itu berlaku perpecahan dalam Umno membabitkan krisis Team A dan B (Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah) dengan tertubuhnya Semangat 46 pada 1988 tetapi kewujudannya tidak bertahan lama.

Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), berkata, sebagai rakan politik yang saling mengenali kedua tokoh pemimpin itu sejak 40 tahun bersama dalam politik beliau mahu mencadangkan solusinya.

“Sebagai orang yang mengenali kedua pemimpin ini, saya nak bagi solusi.

“Saya cadang sebaik-baiknya Datuk Seri Anwar bertanding di Pandan.

“Datuk Seri Wan Azizah akan letak jawatan bila Datuk Seri Anwar jadi Ahli Parlimen, beliau akan terus dilantik timbalan perdana menteri digandingkan dengan Dr Mahathir,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan selepas mengumumkan permohonan penubuhan sebuah parti baharu kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang akan diterajuinya iaitu Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Ibrahim berpendapat adalah tidak wajar sekiranya Anwar atau mana-mana Ahli Parlimen parti itu menawarkan kerusi kepada Ketua Umum PKR itu.

“Saya rasa lebih baik Anwar bertanding pilihan raya sama ada di kerusi isterinya (Pandan) atau kerusi anaknya (Nurul Izzah- Permatang Pauh).

“Kenapa nak cari kerusi lain. Jangan amalkan politik nepotisme,” ujarnya.

Beliau turut berkata, sekiranya Wan Azizah sedia menyerahkan kerusi Pandan dan melepaskan jawatan nombor dua dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, ia akan lebih melancarkan peralihan kepimpinan negara yang diinginkan oleh Pakatan Harapan.

“Datuk Seri Anwar  boleh duduk dengan Dr Mahathir,  bekerja dan memahami apa Dr Mahathir nak buat.

“Jangan bergaduh macam dulu, lepas tu minta maaf pula,” ujarnya berseloroh yang merujuk kepada kesediaan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu itu memohon maaf kepada Anwar terhadap krisis yang berlaku sehingga memenjarakan Anwar dalam sabitan kes liwatnya.

Mengenai tempoh masa dua tahun yang ditetapkan bagi seorang perdana menteri, beliau berpendapat Dr Mahathir harus diberi peluang jika perlu 3 hingga 4 tahun lagi.

“Dr Mahathir jangan diberi peluang 2 tahun setidaknya cukup satu penggal atau 3 dan 4 tahun sebelum sampai tempoh PRU15.

“Apabila Dr Mahathir tidak bertanding, Datuk Seri Anwar akan bertanding. Jika menang beliau akan jadi perdana menteri,” ujarnya.

Ibrahim berkata dengan usia Dr Mahathir kini 93 tahun, ketika itu sudah tiba masanya Dr Mahathir  berehat dan menyerahkan peralihan kuasa kepada kepimpinan Anwar untuk terus memimpin kerajaan Pakatan Harapan.

BacaPenubuhan parti baharu Putra

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote