Wan Azizah lancar sambutan Hari Wanita di Kota Bharu esok

Wan Azizah lancar sambutan Hari Wanita di Kota Bharu esok

Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijadual melancarkan sambutan Hari Wanita di Kota Bharu, esok.

Ketua Wanita PH Kelantan, Norashidah Jaafar berkata Dr Wan Azizah akan menghadiri majlis tersebut sempena program Jelajah Harapan yang turut dihadiri Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin-pemimpin utama gabungan itu.

Tanggal 8 Mac setiap tahun dinobatkan sebagai Hari Wanita Antarabangsa bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan.

Norashidah (foto) berkata, wanita di Malaysia secara amnya dan di Kelantan khususnya sudah sekian lama terlibat aktif dalam membangunkan negara sama ada dalam memainkan peranan di sektor domestik dalam rumahtangga mahupun dalam sektor formal pekerjaan di luar rumah.

“Di sebalik kejayaan yang telah dicapai selama ini, terdapat sebilangan wanita yang masih berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam kehidupan mereka.

“Isu keganasan rumahtangga, masalah sosial, kemiskinan, diskriminasi di tempat kerja termasuk mendapat gaji dan upah yang lebih rendah berbanding rakan kerja lelaki adalah antara isu-isu wanita yang masih memerlukan pembelaan,” katanya.

Menurut beliau, tema hari wanita antarabangsa tahun ini adalah ‘Desakan untuk Kemajuan’.

“Ini menggambarkan isi hati wanita yang mahu melihat semua pihak terus meningkatkan usaha merealisasikan pelbagai komitmen di semua peringkat bagi pembangunan dan pembelaan kaum wanita,” katanya.

Justeru katanya, sempena Hari Wanita Antarabangsa 2018, Wanita Pakatan Harapan Negeri Kelantan merancang menganjurkan Majlis Ramah Mesra Wanita Kelantan Bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Beliau ialah presiden Pakatan Harapan yang kami nobatkan sebagai bakal timbalan perdana menteri wanita pertama Malaysia.

“Inilah komitmen Pakatan Harapan dalam mengiktiraf wanita di peringkat pembuat keputusan tertinggi di negara Malaysia yang kami cintai ini.

“Program ini akan diadakan esok jam 9.00 hingga 12.30 tengahari di Dewan Tunjong Banquet dekat Tunjong,” katanya.

Program ini lebih bermakna katanya diadakan sempena program Jelajah Harapan bersama pimpinan tertinggi Pakatan Harapan ke Kelantan.

“Ini bagi menyampaikan aspirasi Pakatan Harapan dalam membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara rahmah yang adil dan saksama,” katanya.