Malaysia Dateline

Wan Azizah panggil semua agensi bincang isu perkahwinan budak bawah umur

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memanggil semua agensi terlibat untuk bermesyuarat di bangunan Parlimen hari ini bagi membincangkan isu kanak-kanak berusia 11 tahun di Kelantan yang berkahwin dengan lelaki berumur 41 tahun.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga itu berkata, langkah segera perlu diambil bagi memastikan nasib kanak-kanak perempuan tersebut sentiasa terbela.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Himpunan Merdeka Rakyat dan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Tawau di Kompleks Sukan Tawau semalam.

“Perkara itu penting kerana kita mahukan yang terbaik untuk kanak-kanak tersebut dan pertimbangan sewajarnya untuk menjaga hak anak-anak,” katanya yang juga Presiden PKR.

Isu pernikahan budak perempuan bawah umur itu tular di media sosial lantaran mengundang kecaman pelbagai pihak yang bersimpati dengan nasib kanak-kanak terbabit.

Lelaki tersebut yang merupakan peraih getah dipercayai telah mempunyai dua orang isteri sebelum ini dan enam anak hasil perkahwinannya.

Tindakannya mengahwini kanak-kanak berasal dari selatan Thailand pada 4 Syawal lalu itu dilihat banyak pihak sebagai bercanggah dengan Akta Kanak-Kanak 2016 dan Enakmen Keluarga Islam.

Dalam perkembangan berkaitan, isteri kedua lelaki berkenaan dilapor marah dengan tindakan suaminya berkahwin dengan kanak-kanak berusia 11 tahun.

“Saya sendiri pernah nak pinangkan seorang wanita untuk suami tetapi dia tolak. Yang buat saya marah sebab dia kahwin dengan kawan sepermainan anak saya,” katanya.

Tidak berniat untuk mengaibkan suaminya, beliau yang berkongsikan kisah itu di media sosial berkata, mahu suaminya menjadi lebih bertanggungjawab terhadap keluarga.

“Saya mahu perkara ini diselesaikan mengikut undang-undang. Saya dan isteri pertama sanggup terima madu kami sekiranya dia menjalankan tanggungjawab dengan baik, “ katanya yang berusia 34 tahun itu lagi.