Malaysia Dateline

Pembersihan etnik Rohingya oleh pemerintah Myanmar sepatutnya membuka mata negara serantau khususnya Malaysia

Wan Azizah perjelas sumbangan Qatar bernilai USD50 juta untuk Rohingya

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini tampil menjelaskan persoalan yang ditimbulkan berhubung sumbangan USD50 Juta oleh Qatar kepada pelarian Rohingya yang berada di Malaysia ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang menimbulkan persoalan tersebut sepatutnya boleh memperolehi segala maklumat berkaitan daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Namun katanya, apa yang penting peruntukan tersebut tidak pernah disalurkan kepada kerajaan tetapi diberi terus melalui Qatar Charity (QC) kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat.

Beliau berkata, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di bawah Kementerian KPWKM, adalah badan penyelaras bagi bantuan tersebut selaras dengan keputusan Kabinet pada 5 April tahun lalu.

“Keputusan Kabinet itu juga melantik Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai pengerusi jawatankuasa pemantau bagi program ini dan melapor terus kepada satu jawatankuasa tertinggi yang saya pengerusikan sehingga 23 Februari tahun ini.

“Jemaah Menteri telah mengolah struktur pentadbiran bagi memastikan ketelusan dalam pelaksanaan dan pengendalian program ini sesuai dengan penekanan kerajaan PH ke atas akauntabiliti, ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik.

“Apabila PH mengambil alih Putrajaya, kami dimaklumkan akan hasrat Qatar untuk menyalurkan bantuan ini sejak 2016 lagi. Kami bersyukur dapat menjadikannya satu kenyataan dalam tempoh tidak sampai 18 bulan selepas kami ke Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Pandan itu juga berkata, bantuan kemanusiaan pelarian Rohingya di Malaysia menggunakan peruntukan Qatar Fund for Development (QFFD) dalam tiga sektor, iaitu kesihatan, pendidikan dan mandiri kehidupan ‘livelihood’.

Jelasnya, bagi pelaksanaan sektor kesihatan, satu perjanjian projek telah dimeterai pada 13 September 2019 di antara YKN, QC dan tiga buah NGO yang terlibat dalam sektor berkenaan.

NGO tersebut antaranya Mercy Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dan Malaysia Relief Agency (MRA), dengan agensi penyelaras iaitu YKN yang telah melalui proses ketekunan wajar ‘due diligence’.

Ujar beliau, perjanjian tersebut adalah untuk tempoh satu tahun sehingga 12 September tahun ini dan akan disambung setiap tahun selama tiga tahun, dengan peruntukan tahunan sebanyak USD5 juta atau USD15 juta untuk tiga tahun.

“Pada ketika berlaku peralihan kuasa di Putrajaya, pelaksanaan sektor pendidikan berada di peringkat penilaian oleh QFFD manakala perbincangan belum bermula bagi sektor mandiri kehidupan.

“Walaupun Kerajaan Qatar memberi komitmen untuk menyalurkan bantuan ini selama tiga tahun, ia juga memberi iltizam akan kelestarian program ini yang memungkinkan ia disambung selepas tiga tahun mengikut keperluan pada waktu tersebut,” ulasnya.

Tambahnya lagi, bantuan dari Qatar itu sedikit sebanyak mengurangkan sebahagian beban yang selama ini dipikul pihak kerajaan dan dengan itu manfaatnya dapat dialihkan kepada rakyat Malaysia.

“Saya juga menyeru kerajaan Myanmar supaya mengambil tanggungjawab ke atas eksodus besar-besaran kaum Rohingya.

“Tanggungjawab ini tidak sepatutnya diserahkan kepada negara-negara lain terutama negara jiran,” tegasnya.