Malaysia Dateline

Wan Azizah seru usah jadikan isu tanglung pecah-belahkan negara

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan pemasangan tanglung di sekolah bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bukan isu perkauman kerana masyarakat berbilang kaum di negara ini menyambut pelbagai jenis perayaan.

Menurutnya, tidak pernah timbul isu berkaitan pemasangan tanglung dan semua masyarakat menghormati serta meraikan perayaan itu sejak negara mengecapi kemerdekaan.

Katanya, isu perayaan juga tidak wajar dijadikan isu yang boleh memecah-belahkan kaum kerana sebagai sebuah negara yang stabil, perayaan seharusnya dijadikan faktor untuk merapatkan hubungan antara semua.

“Tahun baharu juga kita sambut dan Tahun Baharu Cina juga kita sambut dan perayaan ini diserikan lagi dengan tanglung yang saya sendiri kagum.

“Sejarah tanglung sebenarnya mengenai seorang gadis yang memasang api di dalam kertas lalu wujudlah tanglung. Ia adalah satu budaya masyarakat Cina yang saya fikir tidak mempunyai masalah.

“Jangan jadikan isu ini sebagai satu perkara yang akan memecah-belahkan negara kerana wawasan kita termasuk Jemaah Menteri pada tahun tahun 2020 bukan sahaja mahu menjadikan negara ini maju tetapi harmoni,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Turut hadir Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Air Tanah Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah untuk memasang semula tanglung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1 yang diarahkan diturunkan oleh PIBG sekolah.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo serta Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.